KEMAMAN 4 April- Bagi membanteras jenayah harta benda khususnya kes curi besi dan kabel, di negeri ini, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini menjadi perintis menjalin kerjasama dengan premis barangan lusuh.
Kolaborasi itu dibuat berdasarkan peningkatan kes jenayah harta benda dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 366 kes jenayah harta benda direkodkan dan daripada jumlah itu, 92 kes melibatkan kes curi besi dan kabel berbanding 78 kes pada tahun lalu.
Menurutnya, kerjasama dengan peniaga barangan lusuh diharap dapat membantu mencegah kes kecurian besi dan kabel di negeri ini.
“Dengan kerjasama ini mereka tidak beli barangan lusuh yang diragui atau disyakki barang curi kerana, tidak akan ada permintaan terhadap barang-barang lusuh ini.
“Jika takda permintaan, pencuri besi dan kabel tak ada tempat untuk jual hasil curi mereka dan kes kecurian besi dan kabel dapat kita elakkan,” katanya.
Aidi menyatakan perkara itu selepas melancarkan Papan Tanda Amaran sempena Kempen Pencegahan Kes Kecurian Harta Benda/Memiliki dan Menjual Harta Benda Hasil Aktiviti Jenayah di premis barangan lusuh Kitaran Nadi Sdn. Bhd. di Bukit Kuang di sini hari inii.
Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, beberapa strategi dilakukan pihak polis termasuk memasang papan tanda amaran kempen pencegahan itu secara rasmi di premis-premis barangan lusuh.
Jelas beliau, papan tanda amaran itu akan dipasang di semua premis barangan lusuh berlesen di negeri ini termasuk 15 premis di daerah ini
“Semua peniaga barangan lusuh berlesen ini telah nyatakan persetujuan mereka untuk bekerjasama dengan polis dalam usaha kita menjayakan kempen ini. – UTUSAN ONLINE











