Penuntut kolej swasta langgar polis trafik dijel 3 bulan, denda RM5,000 - Utusan Malaysia

Penuntut kolej swasta langgar polis trafik dijel 3 bulan, denda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang  penuntut kolej swasta yang video kereta Mercedes dipandunya tular melanggar seorang anggota polis trafik di hadapan Dataran Merdeka Selasa lalu, dihukum penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini tadi.

Majistret M.Saravanan menjatuhkan hukuman itu tertuduh Tan Wooi Zhan, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayar denda itu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam penghakimannya sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Saravanan berkata, mahkamah mengambil kira fakta kes dan rakaman dari televisyen litar tertutup (CCTV) sewaktu kejadian. 

“Selepas meneliti semua fakta kes, dokumen dan rakaman CCTV, kemalangan berlaku dalam sekelip mata. Namun begitu mahkamah perlu mengambil kira faktor kelajuan dan kecederaan yang dialami anggota trafik. Pada masa sama faktor lain ialah tertuduh juga tidak melarikan diri malah menolong mangsa selepas kejadian,” katanya. 

Mengikut pertuduhan Wooi Zhan didakwa telah memandu kereta jenis Mercedes-Benz secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis trafik yang sedang bertugas Konstabel Mohamad Aniq Ariz Mohd. Kassim, 22,. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Hishamuddin di sini pukul 8.11 pagi pada 2 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun atau lesen percubaan dibatalkan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini