Beri suntikan semangat kepada Norfadila - Utusan Malaysia

Beri suntikan semangat kepada Norfadila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 April – Pertemuan Norfadilla Che Par, 28, dengan anak lelaki sulungnya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful buat kali pertama kelmarin merupakan salah satu proses terapi dan rehabilitasi.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, pertemuan antara ibu dan anak yang dibuat secara langsung itu akan memberi kekuatan serta suntikan semangat kepada Norfadilla.

Katanya, selepas pertemuan kelmarin, secara psikologinya Norfadilla mengenali dan memahami apabila melihat anak sulungnya itu buat kali pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dia mendapat sokongan yang begitu kuat dari suami dan keluarga, malah setiap kali suaminya datang melawat, suaminya sentiasa menceritakan perkembangan anaknya serta menunjukkan gambar-gambar anaknya.

“Selain itu, gambar anaknya juga dilekatkan di dinding bilik ICU bagi memberi semangat kepadanya untuk bangkit kerana anaknya sedang menunggunya.

“Anaknya itu memberi semangat kepadanya dan sebab itulah buat pertama kalinya kita bawa dia untuk berjumpa anaknya secara terbuka,” katanya ketika dihubungi kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang ibu yang koma selama 138 hari akibat komplikasi semasa beranak hanya mampu mengalirkan air mata melihat anak lelaki sulungnya buat kali pertama.

Wanita itu koma selepas menjalani pembedahan untuk bersalin dan dia mengalami tekanan darah rendah, degupan jantungnya berhenti selama 10 minit dan oksigen tidak sampai ke otak.

Bayi yang kini memasuki usia lima bulan bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram serta dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Selasawati berkata, setakat ini, Norfadilla telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

“Alhamdulillah kita sangat berpuas hati dengan perkembangannya dan InsyaAllah, dia akan dipindahkan ke wad biasa jika terus menunjukkan kesembuhan.

“Di samping itu juga, petugas-petugas kita juga sentiasa membantu dalam memberikan motivasi serta semangat kepadanya,”katanya.

Tambahnya, beliau turut berharap agar Norfadilla akan kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan bersama-sama anak dan suaminya selepas ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini