Juara bertahan, Pahang turun dengan misi wajib menang menentang pasukan PIB FC menjelang aksi pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Biarpun di atas kertas Pahang diramal berdepan laluan mudah untuk menewaskan PIB FC, namun skuad kendalian Dollah Salleh tersebut tetap menghormati pasukan lawan mereka itu.
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad Tok Gajah tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan mereka itu yang kini beraksi di Divisyen 2 Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Kita tidak tahu rentak permainan mereka dan ia sesuatu yang sukar diramal, jadi kita perlu lebih berwaspada di atas padang.
“Kita perlu turun dengan kesebelasan terbaik untuk menang di pusingan ini dan bersaing di peringkat seterusnya,” kata Mohammed Suffian kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, penyerang berbisa Tok Gajah, Dickson Nwakaeme juga sudah boleh kembali beraksi bagi memperkuatkan jentera serangan mereka.
“Kita harap semua pemain dapat beraksi dengan baik untuk mengekalkan momentum kemenangan,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga yakin Dollah sudah pastinya mempunyai percaturan tersendiri dan berkemungkinan besar akan menurunkan barisan pemain muda menentang PIB FC.
Mengulas mengenai kemampuan gandingan penyerang iaitu Ze Love dan Norshahrul Idlan Talaha, beliau amat bepuas hati dengan prestasi kedua-dua pemain itu setakat ini.
“Kedua-dua pemain ini sudah membuktikan kemampuan mereka apabila menggalas tugas sebagai penyerang utama dan saya harap mereka akan meneruskan momentum yang sedia ada ini,” jelasnya lagi.











