UEC diiktiraf bagi peperiksaan PSAG - Utusan Malaysia

UEC diiktiraf bagi peperiksaan PSAG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mac – Nampaknya usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) semakin berhasil apabila kini sudah boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tommy Thomas berkata, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 bermula 1 Januari 2021.

“Selepas mesyuarat pada 8 Mac lalu, kita sebulat suara memutuskan syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 bermula 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemegang sijil kelayakan UEC ini juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya li­ma kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), O-Levels atau setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tommy yang juga Peguam Negara menjelaskan syarat tersebut perlu terpakai kepada semua pelajar yang telah mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun lepas.

Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang dan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK) mengenai pe­nerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

“Kami juga telah mendapatkan penjelasan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) berhubung tahap kelayakan UEC yang boleh diterima sebagai syarat kemasukan bagi mengikuti program ijazah di pelbagai universiti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ternyata gembira dengan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf UEC sebagai setaraf STPM dan A-Levels.

Menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun Facebook rasminya malam tadi, Nie C­hing turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Tommy yang menjadi individu pen­ting dalam pengkitirafan tersebut.

“Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia telah bersetuju UEC adalah setaraf dengan STPM dan A-Levels dan perkara ini membolehkan pelajar persendirian Cina membuat permohonan untuk menduduki PSAG.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini