YSS anjur tuisyen percuma di PPRT - Utusan Malaysia

YSS anjur tuisyen percuma di PPRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Mac – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) akan menganjurkan inisiatif tuisyen secara percuma kepada pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bermula Mei ini.

Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selain itu pihaknya akan melaksanakan projek perpustakaan mini dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat.

Katanya, buat permulaan kedua-dua projek perintis itu akan dilaksanakan di lima PPRT sekitar Lembah Klang di samping berhasrat untuk meneruskannya di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tuisyen percuma ini dikhususkan kepada 150 pelajar yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memfokuskan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM.

“Bagi projek perpustakaan pula, ia adalah medium terbaik bagi mengalakkan budaya berilmu dalam kalangan warga PPRT dengan mereka sendiri akan menguruskan perpustakaan itu,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketujuh Penubuhan YSS di sini hari ini.

Ujar Lam Thye lagi, tenaga pengajar program tuisyen percuma itu dijangka melibatkan 150 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang di bawah pemantauan alumni YSS.

“Selain memfokuskan projek kesukarelawan di dalam dan luar negara, kita mahu dua progam terbaharu ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat.

“Selain itu, kita ingin meneruskan kejayaan YSS selama ini yang telah melahirkan sukarelawan dalam kalangan pelajar IPT dan membentuk generasi pemimpin masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan kerana memberi kepercayaan kepadanya dilantik sebagai Pengerusi YSS.

Ujarnya, di samping melaksanakan misi dan visi sedia ada, beliau juga memfokuskan tiga gerak kerja di dalam meneruskan kesinambungan kejayaan yayasan itu selama ini.

“Tiga aspek gerak kerja itu adalah melahirkan generasi muda berwawasan, aspek kenegaraan dan melahirkan pelajar berintegriti menerusi setiap program di bawah kelolaan YSS,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini