IPOH 29 Mac – Kesedaran awam mengenai kepentingan mendapatkan lesen untuk mesin jual air yang diletakkan di kaki lima premis masih rendah walaupun peraturan itu telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun 2014.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, di Perak hanya 61 daripada 860 mesin jual air tersebut adalah berlesen di bawah Jabatan Kesihatan negeri dengan 119 lagi sedang dalam proses kelulusan.
Beliau berkata, adalah penting untuk orang ramai memilih mesin jual air berlesen kerana ia telah dipastikan memiliki sistem saluran air yang selamat selain dipantau secara berkala oleh Jabatan Kesihatan negeri.
“Kesedaran masih lagi rendah, jadi kita mahu para pemilik mesin jual air ini supaya memohon lesen. Oleh itu, kita boleh memantau cara mesin itu beroperasi dengan betul.
“Apabila kita memberikan lesen, kita akan pastikan aliran air yang masuk dan keluar itu berada dalam keadaan baik supaya tiada takungan yang boleh menyebabkan denggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi penguatkuasaan mesin jual air di Bercham di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











