KUALA LUMPUR 28 Mac – Sukar untuk menerima hakikat apabila ‘virus’ rasuah yang dahulunya sinonim dengan golongan yang bekerjaya kini secara perlahan-lahan menular dalam kalangan pelajar universiti.
Hal itu dapat dilihat menerusi tinjauan mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah yang dilakukan Institut Integriti Malaysia (IIM) mendedahkan yang satu daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap sebagai rasuah.
Selain itu, kaji selidik tersebut turut menunjukkan 28.1 peratus responden turut berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk mengambil harta atau barangan milik syarikat, termasuk ‘pen drive’, dakwat mesin pencetak atau kertas untuk kegunaan peribadi.
Malah, 37.3 peratus daripada responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugas luar walaupun ada tajaan penuh bukan satu kesalahan moral.
Lebih membimbangkan, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1,000 pelajar universiti mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus pula akan menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil. Sehubungan itu,langkah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menawarkan kursus kredit berkaitan integriti dan rasuah kepada pelajar ijazah pertama amat tepat pada masanya demi untuk membanteras gejala rasuah yang semakin parah.
Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, usaha UKM dalam memerangi rasuah itu perlu dicontohi institusi pendidikan yang lain dengan memperkenalkan kursus sedemikian.
“Semua pihak perlu menyokong usaha UKM kerana perjuangan memerangi rasuah ini harus bermula di peringkat akar umbi yang masih kurang kesedaran tentang integriti dan rasuah.
“Berdasarkan kenyataan Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, UKM adalah universiti pertama dalam negara yang menawarkan kursus sedemikian di bawah penyelarasan Pusat Citra Universiti,” katanya. -UTUSAN ONLINE











