KUALA LUMPUR 28 Mac – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, di tengah-tengah pengukuhan Indeks Dolar US berikutan ketidaktentuan membabitkan isu Brexit, kata peniaga.
Pada 6 petang ini, ringgit diniagakan pada 4.0760/0800 daripada 4.0700/0750 sewaktu ditutup pada Rabu.
Menurut peniaga itu, pelbagai isu berbangkit Brexit yang masih belum diselesaikan United Kingdom dan Kesatuan Eropah sebaliknya terbukti menyokong dolar AS yang lebih dilihat sebagai mata wang selamat bagi para pelabur.
“Selain itu, ringgit juga seiring dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang membangun yang susut berbanding dolar AS akibat ketidaktentuan rundingan antara AS dan China yang berlangsung hari ini dan esok,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3542/3607 daripada paras 5.3744/3819 sewaktu ditutup pada Rabu dan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0055/0100 daripada 3.0068/0107.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.6937/6983 daripada 3.6853/6901 namun mengukuh berbanding euro kepada 4.5871/5937 daripada 4.5910/5970, semalam. – BERNAMA











