KUALA LUMPUR 28 Mac – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan indeks petunjuk pasaran susut 0.08 peratus meskipun pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) dilaporkan dijangka meningkat pada 2019.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangka pelaburan E&E yang diluluskan adalah lebih tinggi iaitu RM13 bilion bagi industri E(amp)E pada 2019 berbanding RM11.2 bilion pada 2018, dipacu oleh pengukuhan dalam sektor tersebut dan ekosistem yang rancak.
Industri itu menjana 11,180 peluang pekerjaan pada 2018.
“Syarikat multinasional utama dan syarikat milik Malaysia akan berterusan menyumbang kepada pertumbuhan industri yang stabil di Malaysia,” menurut MIDA.
Indeks penanda aras ditutup 1.4 mata lebih rendah kepada 1,641.33 berbanding 1,642.73 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka pada paras 1,642.9, menokok 0.17 mata dan berlegar dalam lingkungan 1,638.69 dan 1,645.21 sepanjang dagangan hari ini.
Di papan skor, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 447 berbanding 338, manakala 380 kaunter kekal tidak berubah, 747 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 1.93 bilion unit bernilai RM1.66 bilion berbanding 2.06 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Rabu. -BERNAMA











