KUALA LUMPUR 28 Mac – Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail terus konsisten meraih kecemerlangan dengan terbaharu membawa pulang pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, sebentar tadi.
Muhammad Hakimi yang masih segar dengan kecemerlangan dalam Kejohanan Olahraga Trek Klasik Queensland di Australia, minggu lalu meraih pingat emas pada hari ini dengan catatan 16.01 meter (m).
Pingat perak menjadi milik atlet dari Filipina, Mark Harry Diones dengan catatan 15.96m manakala gangsa diraih atlet Thailand, Pratchaya Tepparak dengan catatan 15.85m.
Dalam aksi minggu lepas di Australia, Muhammad Hakimi meraih pingat emas dengan catatan 16.47m.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Rayzam Shah Wan Sofian turut tidak pulang dengan tangan kosong dari Singapura apabila menamatkan aksi 110m lari berpagar dengan catatan 13.82 saat untuk meraih pingat gangsa. – UTUSAN ONLINE











