ExxonMobil sumbang RM500,000 untuk program pendidikan - Utusan Malaysia

ExxonMobil sumbang RM500,000 untuk program pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 28 Mac – Syarikat minyak, ExxonMobil meneruskan komitmen dalam menyokong program pendidikan di negeri ini pada tahun ini dengan menyerahkan sumbangan bernilai RM500,000.

Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Presiden dan Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.

Menurut Miller, daripada jumlah itu sebanyak RM65,000 diperuntukkan bagi program Spark Your Creativity Challenge bersama PSKT di samping RM150,000 bagi pelaksanaan UKM-ExxonMobil STEM Club@Terengganu yang dikendalikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, empat program kerjasama yang dirangka dengan JPNT pula adalah Anugerah Hari Guru ExxonMobil yang membabitkan sumbangan bernilai RM55,000 disusuli Terengganu-ExxonMobil Mathematics Innovation Challenge (Texmic) (RM63,000).

“Selain itu, kita turut memperuntukkan sebanyak RM82,000 bagi program Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil SPM 2019 dan baki RM85,000 bagi Kem Bahasa Inggeris bersama Pembantu Bahasa Inggeris (ETA),” katanya.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Rosman Roslan.

Seramai 30 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah harian di negeri ini menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil 2018.

Mereka yang memperoleh pencapaian semua A termasuk dalam mata pelajaran matematik tambahan, fizik, biologi dan kimia menerima wang tunai RM1,500 seorang dan sijil.

Dalam majlis itu, empat sekolah harian terbaik STEM yang memperoleh prestasi A turut menerima ganjaran sebanyak RM2,000 dan sijil iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dalam mata pelajaran matematik tambahan, SMK Bukit Sawa (fizik) dan SMK Belara (kimia dan biologi).

Selain itu, SMK Belara turut menerima Anugerah Sekolah Menengah Harian Terbaik Keseluruhan STEM 2018 dengan hadiah wang tunai RM3,000 manakala Daerah Kemaman menerima Anugerah Daerah Peningkatan Peratusan Tertinggi Calon STEM 2018 dan menerima wang tunai RM2,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini