KUALA TERENGGANU 28 Mac – Kerajaan negeri akan memperhalusi kaedah terbaik bagi membantu meringankan bebanan pelajar anak negeri susulan isu golongan mahasiswa mengikat perut seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu akan dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada pelajar terlibat mahu pun ibu bapa.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa cakna terhadap keadaan semasa yang berlaku justeru, mana-mana pihak yang berada dalam kesukaran sedemikian diminta segera memaklumkan bagi membolehkan mereka dibantu.
“Kita akan mencari jalan bagaimana untuk membantu, kalau tidak boleh banyak kita cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikannya.
“Bagaimanapun, setakat ini kita belum dapat apa-apa permohonan untuk menyelesaikan masalah mahasiswa mengikat perut ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Rosman Roslan.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini melaporkan tentang jerit-perit golongan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.
Pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu dilaporkan terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.
Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri juga mempunyai dana bantuan asnaf bagi mereka yang sedang melanjutkan pengajian melalui sumbangan zakat dan sebagainya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). – UTUSAN ONLINE











