Pelajar UiTM bentang cadangan atasi Migran Indonesia - Utusan Malaysia

Pelajar UiTM bentang cadangan atasi Migran Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mac – Sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih tempat ketiga selepas membentangkan sebuah program perintis untuk mengurangkan pekerja migran Indonesia (PMI) kepada Bank Mandiri, Indonesia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

DARI kiri Danial Zarkasyi Mazlan, Saidatul Nur Ain Tajul Aurush dan Luqman Hadi Azahar memegang replika cek kemenangan tempat ketiga dalam pertandingan Regional Business Case di Jakarta, Indonesia baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Wakil pelajar UiTM, Saidatul Nur Ain Tajul Aurush berkata, program yang dicadangkan itu adalah bagi mengatasi masalah PMI yang berhijrah secara haram dan akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Bank Mandiri boleh menawarkan keahlian istimewa kepada PMI untuk menyertai program latihan dan kepakaran sebelum mereka berlepas ke destinasi masing-masing di samping urusan pendokumentasian dijalankan secara serentak.

Tambah Saidatul, pihaknya berjaya menyusulkan program tersebut yang sangat praktikal dan Bank Mandiri semestinya akan mendapatkan banyak kebaikan jika perkara itu berjaya dilaksanakan.

“Program tersebut adalah untuk menggalakkan warga Indonesia yang ke luar negara sebagai PMI memulakan perniagaan sendiri dengan modal hasil dari simpanan mereka semasa bekerja di perantauan.

“PMI juga layak menerima pembiayaan mikro untuk ditambah ke dalam modal yang mereka miliki bagi memulakan perniagaan apabila pulang ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cadangan tersebut dibentangkan kepada Naib Presiden Kanan Bank Mandiri dan juri dari Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia dalam pertandingan Regional Business Case.

Kumpulan tersebut terdiri daripada tiga wakil pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Timbalan Dekan, Profesor Madya Dr. Nor Hashima Hashim sebagai penasihat dari Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), UiTM.

Selain itu, seorang lagi wakil pelajar UiTM, Luqman Hadi Azahar berkata, kebolehan pihak bank memberi pendedahan secara awal dapat memastikan bakal PMI bersiap sedia dengan latihan serta kemahiran dengan lebih mantap kerana mereka mempunyai lebih masa.

“Para pelajar sekolah pertengahan dan sekolah tinggi di Indonesia harus diberi pendedahan awal untuk memastikan mereka boleh menyara diri dan juga keluarga di kemudian hari melalui program yang diberi nama ‘Sahabat Mandiri Muda’,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini