KUALA LUMPUR 28 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih semula 324 dewan serba guna di bawah badan-badan pengurusan komuniti untuk tujuan penambah baikan dan penstrukturan semula kegunaannya.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, daripada jumlah itu sebanyak 119 badan pengurusan dewan telah diberikan notis dan setakat ini hanya 69 sahaja yang bersetuju menyerahkan semula kepada DBKL.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati ada segelintir badan pengurusan yang menyalahgunakan dewan komuniti untuk tujuan tidak sewajarnya dan berkepentingan sendiri.
“Semua dewan milik DBKL ini akan diambil alih untuk diselia dalam tempoh sementara sebelum diserahkan kepada persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menguruskannya.
“Hari ini sebanyak 36 pengurus dewan dari lapan kawasan Parlimen hadir menyerahkan kunci kepada DBKL selepas tindakan pengambil alihan dewan bermula sejak Disember 2018 hingga Februari lalu,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Pengambilalihan Dewan oleh DBKL di Dewan Megapuri, Tingkat 30, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Shahruddin memberitahu, DBKL akan membuat penambaikan dam meneliti semula aspek pengurusan dewan untuk memberi kesaksamaan manfaat kemudahan itu kepada penduduk setempat. – UTUSAN ONLINE











