Tiada garis panduan jelas lesen PSV untuk e-hailing - Utusan Malaysia

Tiada garis panduan jelas lesen PSV untuk e-hailing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mac – Tiada garis panduan yang jelas dari kerajaan berhubung kaedah memohon lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) menjadi kebimbangan dan kekeliruan kepada para pemandu e-hailing sehingga ke hari ini.

Berikutan itu, para pemandu e-hailing mendakwa mereka masih keliru bagaimana memohon lesen berkenaan yang akan dikuatkuasakan terhadap mereka mulai 12 Julai ini.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda), Daryl Chong berkata, ramai pemandu bimbang kerana mereka tidak pasti apa yang akan dilakukan seterusnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari hari ia diumumkan bahawa lesen itu akan dikuatkuasakan tahun ini terhadap pemandu e-hailing sehingga hari ini, tidak ada butiran mengenai prosedur ini. “Kami hanya mengetahui mengenai kos, iaitu kira-kira RM200 seorang,” katanya seperti dipetik laporan Free Malaysia Today hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata beberapa tindakan termasuk memberi amaran akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang beroperasi tanpa lesen PSV selepas 12 Julai dan permohonan lesen itu bermula pada 1 Januari lalu.

Di bawah peraturan baru, Anthony berkata, pemandu e-hailing mesti mendaftar dan memiliki lesen PSV, perlu memiliki insurans untuk kereta manakala kenderaan melebihi tiga tahun perlu membuat pemeriksaan.

Mehda kini mempunyai kira-kira 50,000 pemandu e-hailing di Malaysia dan hanya 200 sekolah memandu.

Tambah Daryl, kerajaan mengeluarkan maklumat dan peraturan berkenaan kepada syarikat e-hailing, tetapi tidak memberikan kenyataan rasmi mengenai keperluan itu.

“Tidak ada maklumat jelas, yang mungkin memberi ruang kepada sekolah atau institusi memandu untuk mengambil kesempatan.

“Kebimbangan kami adalah lesen itu mungkin tidak sah jika tidak terdapat garis panduan yang sesuai untuk diikuti. Kita perlu tahu mengenai prosedur, berapa jam yang diperlukan untuk kami belajar untuk mendapatkan lesen dan teori apa yang diperlukan untuk kami lulus peperiksaan, jika ada apa-apa.” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini