Sertwo tembusi pasaran Indonesia - Utusan Malaysia

Sertwo tembusi pasaran Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sertwo International Sdn. Bhd. (Sertwo International) mengembangkan perniagaan ke pasaran Indonesia khususnya dalam industri logistik dengan membangunkan kontena halal bagi menyediakan standard baharu menerusi sektor pembersihan di sana.

Sertwo International merupakan syarikat pakar perkhidmatan sertu bagi segmen halal merangkumi pelbagai industri termasuk hartanah, logistik, farmaseutikal, minyak dan gas, perkilangan, makanan dan minuman serta perkapalan dan penerbangan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azwa Omar Jamli berkata, pe­nembusan syarikat ke negara yang mempunyai segmen halal terbesar itu adalah melalui kerjasama eksklusif dengan Persatuan Logistik Halal Indonesia, PT Bangun Halal Indonesia (Bangun Halal).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh enam bulan ini, kami merancang untuk me­ningkatkan kesedaran pengguna di sana terhadap kepentingan aktiviti sertu dalam industri halal dan kehidupan seharian masyarakat.

“Ini kerana sertu merupakan antara perkara dalam sebuah rantaian halal.

“Melalui kerjasama ini, syarikat akan memberi tum­puan dalam industri logistik di Jakarta, selain menyasarkan pelabuhan-pelabuhan yang ada di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sertwo International dengan Bangun Halal di Wisma Jemz Group di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Sertwo International, Farahida Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Sertwo Manufacturing Sdn. Bhd., Zaharin Kamar Zakaria dan Pengarah Urusan Bangun Halal, Arya Mabruri Nurfata.

Terdapat sebanyak 1,500 buah syarikat logistik di bawah Ba­ngun Halal.

Menurut Nor Azwa, sijil pengesahan sertu untuk latihan dan perkhidmatan bagi setiap kerja sertu yang bakal dilaksanakan di Indonesia akan dikeluarkan oleh pihak Bangun Halal dengan kebenaran dan kelulusan syarikat.

“Sijil berkenaan adalah proses menyeluruh merangkumi prosedur operasi standard termasuk proses keselamatan dalam memastikan kesucian dan kebersihan secara mutlak.

“Selain segmen perniagaan kepada kerajaan (B2G) melalui kerjasama ini, kami turut melihat potensi pasaran lain termasuk Filipina, Brunei dan China malah turut menerima pertanyaan dari New Zealand,” jelasnya.

Sertwo International mempunyai kilang pengeluaran bagi produknya iaitu Tayammum Powder, Sertwo Powder dan Sertwo Natural Liquid Clay Wash di Bukit Raja, Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini