KUALA LUMPUR 26 Mac – Pakatan Harapan (PH) harus berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu dan memberi tumpuan kepada proses pemulihan kewangan negara.
Pakar ekonomi Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob yang bakal menyertai Putra Business School pada 1 April ini berkata, sememangnya kerajaan perlu melunaskan hutang namun perkara itu masih boleh dirunding semula supaya bayaran itu dapat dikurangkan.

Beliau malah berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula perbelanjaan agensi-agensi di bawahnya termasuk memotong perbelanjaan yang tidak perlu atau kritikal.
“Misalnya, pembelian aset baharu seperti bas, van atau mengurangkan lawatan kerja ke luar negara yang mana maklumat boleh diperoleh melalui kedutaan negara berkenaan.
“Jangan asyik ulang laungan ‘kerajaan dahulu’, rakyat sudah muak mendengar kerajaan sekarang asyik menyalahkan pemerintahan terdahulu tetapi tidak nampak sebarang tindakan untuk memulihkan ekonomi dan sebagainya.
“Rakyat menilai melalui tindakan dan bukannya kata-kata,” jelas beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat termasuk kesemua 1.7 juta penjawat awam diminta berkorban dan ‘ikat perut’ buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mengatasi masalah kewangan negara dan menyelesaikan hutang yang didakwa lebih RM1 trilion diwarisi daripada kerajaan terdahulu.










