Penyokong kerajaan mahu Pengerusi PAC ditukar - Utusan Malaysia

Penyokong kerajaan mahu Pengerusi PAC ditukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mac – Penyokong kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mendesak mahu Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang selari dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH).

Penyokong kerajaan itu diketuai oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan tentang perkara tersebut.

“Peraturan Mesyuarat 77 (2), tentang PAC. Dalam kurungan dua, jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan Naib Pengerusi yang akan dilantik oleh majlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ternyata penyokong kerajaan ingin ganti Pengerusi PAC dengan ahli pembangkang. Dengan rasa hormat kepada Ahli Parliman Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee). Tetapi ini prinsip.

“Alasan permintaan ini adalah kerana manifesto pilihan raya PH. Kita mesti tunaikannya, jadi saya minta pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan,” katanya yang bangun mencelah selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Gesaan beliau itu disokong oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kerana sudah terlalu banyak kerajaan PH gagal menunaikan janji.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon bagaimanapun berkata pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan akan dibincangkan.

Jawatan Pengerusi PAC kini disandang oleh Ronald, namun kedudukannya dipersoalkan memandangkan beliau dilantik memegang jawatan itu sewaktu masih bersama UMNO dan BN.

Pada hujung tahu lalu, Ronald bersama beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar daripada UMNO dan kemudian baru-baru ini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerajaan PH sebelum ini telah berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan pemimpin parti pembangkang.

Tiadanya tanda-tanda akan berlaku pertukaran jawatan Pengerusi PAC didakwa menjadi antara sebab Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai seorang daripada Ahli PAC. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini