Rolls-Royce jadi umpan - Utusan Malaysia

Rolls-Royce jadi umpan

KERETA Rolls-Royce Phantom yang dirampas bagi membantu siasatan kes rasuah dan cap palsu membabitkan kakitangan imigresen di pintu masuk utama negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rangkaian aktiviti penyeludupan manusia antarabangsa khususnya dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangla­desh dikenal pasti terlibat dalam kegiatan rasuah urusan cap palsu di pintu ma­suk utama negara.

Apa yang mengejutkan anggota sindiket yang terdiri daripada ejen-ejen di luar negara itu menawarkan habuan kereta mewah termasuk Rolls-Royce kepada kaki­ta­ngan imigresen.

Anggota sindiket dibantu kakitangan imigresen terbabit akan mengatur pergerakan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Mendedahkan kepada Utu­san Malaysia, sumber mem­beritahu, atas aturan sindiket itu, pelawat yang disenarai hitam yang ingin masuk ke Malaysia akan dimaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan mereka kepada ejen-ejen di Malaysia.

Kata sumber, ejen-ejen itu akan berhubung dengan pegawai imigresen di KLIA dan KLIA2 untuk mengatur kaun­ter bagi memastikan pe­lawat asing itu dapat meloloskan diri tanpa masalah.

“Begitu juga dengan proses keluar dari negara ini disebabkan senarai hitam, pas lawatan tamat tempoh dan pasport palsu. Hanya kaunter-kaunter tertentu di KLIA dan KLIA2 akan digunakan oleh pekerja atau pelawat asing,” katanya.

Dalam pada itu, kata sumber, menerusi Op Selat, empat lagi individu berusia antara 28 dan 52 tahun termasuk seorang pegawai imigresen ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes yang sama.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) seramai 50 orang terdiri daripada 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

Jelas sumber, wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi dirampas tidak termasuk rumah, tanah, bara­ngan kemas dan sebagainya.

“Apa yang mengejutkan ialah bagaimana seorang anggota imigresen Gred KP 19 mampu memiliki empat kereta mewah iaitu Rolls-Royce Phantom, Ford Mustang, Range Rover dan Audi.

Kereta Range Rover dan Audi yang turut dirampas.

“Kereta itu didaftarkan atas nama dua warga China yang dipercayai ejen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan. SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China dan rakyat tempatan terbabit dan sedang mengesan kesemuanya,” katanya.

Menurut portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kakitangan Gred KP 19 berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gaji permulaan RM1,360 dan gaji maksimum RM4,052.

Tambah sumber, salah seorang ejen tempatan membantu menyimpan kenderaan-kenderaan mewah itu untuk digunakan oleh anggota imigresen sebagai balasan upah membuat aturan kaunter di KLIA2.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali ketika dihubungi tidak menolak lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×