KUALA KANGSAR – Seorang warga emas maut selepas kenderaan yang dipandu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 49.5 Jalan Ipoh Taiping awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.25 pagi itu, mangsa, Mohamed Taib Salleh, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Rusa itu sedang dalam perjalanan dari arah Sayong ke Taiping.
“Tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di tepi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Razali, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat serangan jantung ketika dia sedang memandu dan perkara itu menyebabkan dia terbabas sebelum melanggar tiang elektrik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE









