MELAKA – Seorang anggota tentera berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Seysen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, Ahadi Saib, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang tinggal di kuaters sama di Sungai Udang kira-kira pukul 12 tengah hari pada awal Jun 2018.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 22 April depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE









