RIO DE JANEIRO 21 Mac – Richarlison mengakui Brazil merindui kelibat Neymar namun dia percaya mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan kapten pasukan itu.
Neymar akan terlepas aksi persahabatan Sabtu ini, menentang Panama dan Republik Czech, tiga hari kemudian kerana sedang menjalani proses pemulihan kecederaan kaki semasa beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG), Januari lalu.
Richarlison sedar betapa penting Neymar buat gergasi bola sepak Amerika Selatan itu namun bintang Everton itu percaya rakan sepasukannya mampu mengawal keadaan.
“Neymar sangat dirindui kerana dia adalah pemain yang hebat.
“Saya sudah bersedia. Semua tahu tanggungjawab masing-masing. Jika saya dipilih bermain, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik untuk menang.
“Neymar memudahkan permainan. Apa pun biar kami isikan kekosongan yang dia tinggalkan,” katanya.-AGENSI









