IPOH 19 Mac – Tanpa kehadiran pasukan kelompok 10 teratas dunia, Malaysia berpeluang cerah untuk menamatkan kemarau 27 tahun muncul juara buat pertama kali pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah kali ini.
Pasukan regular seperti Australia dan New Zealand tidak dapat menyertai kejohanan edisi ke-28 kali ini yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Mac di Stadium Azlan Shah di sini.
Dua negara itu merupakan antara pasukan handalan dunia yang terlibat dalam kejohanan World League FIH.
Ini bermakna, India yang menduduki ranking kelima senarai Persekutuan Hoki Dunia (FIH) bakal menjadi pencabar terkuat Malaysia pada kejohanan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Datuk Abdul Rahim Md. Arif berkata, berdasarkan ranking semasa pasukan lain yang mengambil bahagian, Malaysia yang kini pada ranking ke-13 dunia berpeluang cerah untuk mara
ke perlawanan akhir.
Menurutnya, menjadi juara sudah pasti sasaran utama jika Malaysia layak ke final.
“Kita tidak pernah jadi juara sepanjang 27 edisi kejohanan dan harap-harap kali ini kita boleh jadi juara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kejohanan di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Enam negara termasuk Malaysia menyertai kejohanan kali ini iaitu India, Kanada, Korea Selatan, Jepun dan Poland. – UTUSAN ONLINE











