PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) telah mencapai kejayaan neutral karbon untuk kilangnya di Johor Bahru, mengukuhkan komitmen syarikat untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
Pensijilan yang diterima oleh Kumpulan, adalah selaras dengan pengiktirafan antarabangsa, PAS 2060 untuk neutral karbon bagi tempoh 1 Disember 2020 hingga 30 November 2021.
Kejayaan itu telah diumumkan oleh Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad Isnin lalu.
“Sistem tenaga solar yang dipasang sepenuhnya pada Mei lalu akan menjana tenaga kira-kira 103Mwj (megawatt-jam) setiap tahun, membekalkan kira-kira 60 peratus tenaga kilang sepanjang tahun.
“Secara keseluruhan, sistem tenaga solar akan menjana penjimatan hampir RM1 juta dalam tempoh 20 tahun,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Menurut Pengarah Pemasaran Komersial BAT Malaysia, Bryce Matthew Green, perniagaan mempunyai peluang yang mendalam untuk membantu membina masa depan yang lebih mampan.
Kata beliau, tindakan iklim boleh menjadi asas kepada era baharu potensi inovatif, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Kami berbangga untuk melancarkan sistem tenaga solar kami secara rasmi, yang merupakan bukti kepada semangat kami dalam membina hari esok yang lebih baik untuk semua pemegang taruh, dan kunci kepada pencapaian kami dalam status neutral karbon.
“Pensijilan global ini susulan pengurangan selama bertahun yang dibuat pada setiap peringkat rantaian bekalan kami, dan merupakan sebahagian daripada cita-cita yang telah kami tetapkan untuk mengurangkan pelepasan karbon merentasi semua unit perniagaan kami,” katanya.
Pengarah Operasi BAT Malaysia, Remeena Prabhakaran pula berkata, syarikat berbangga dengan perjalanan dan pelan hala tuju ditetapkan untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
“Kami memberi tumpuan, komited dan bermotivasi dengan objektif ini, dan kami akan mencapainya. Terima kasih kepada semangat dan usaha berterusan kakitangan kami untuk mengurangkan jejak karbon,” katanya. – UTUSAN










