BACHOK 5 Okt. – Keperihatinan terhadap anak-anak yatim tidak sekadar melibatkan wang ringgit, malah turut memerlukan curahan kasih sayang kerana itu lebih diperlukan mereka yang hilang tempat bergantung.
Pengerusi Volunteer I Care (VIC) Mohammad Afiq Aiman Sukry berkata, amalan menjenguk, bertanya khabar dan berinteraksi dengan anak-anak yatim lebih bermakna selaras tuntutan agama membela kebajikan mereka dalam skop yang lebih global.
Hari ini katanya, VIC bersama dermawan berjaya meluangkan waktu menyantuni anak-anak yatim di Rumah Anak-anak Yatim Salimah, Telong, di sini menerusi program santai tanpa perbelanjaan yang besar.
“Kami berjaya mencari penaja makanan untuk memeriahkan program itu. Kasih sayang, ukhuwah dan sentuhan masyarakat menjadi fokus utama aktiviti sepanjang berada di rumah anak yatim berkenaan.
” Sumbangan nasi ayam cobek, dadih, kuih pelita, sandwich, kuew tiow, roti jala, buah duku, tembikai, air minuman dan lain-lain berjaya dikumpulkan dan terbukti program santai ini mampu memeriahkan rumah anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui hari ini.
Muhammad Afiq berkata, penyumbang dan sukarelawan yang mendekati anak-anak yatim turut memberi semangat dan motivasi agar mereka cemerlang dunia dan akhirat.
Beliau turut menambah, program jelajah rumah anak-anak yatim perlu digerakkan badan-badan sukarela dan individu yang berkemampuan kerana dapat membantu meringankan bebanan pihak pengurusan rumah kebajikan tersebut.
“Kita bangga kerana penghuni rumah anak yatim ini dihantar belajar di sekolah yang berdekatan dan selepas waktu sekolah mereka dididik mempelajari ilmu agama dan al-Quran untuk tampil sebagai tahfiz al-Quran,” katanya.
Muhammad Afiq berkata, jelajah asnaf yang melibatkan anak-anak yatim akan diadakan secara berterusan sebagai program amal VIC dalam mengajak orang ramai mendampingi anak-anak istimewa ini. – UTUSAN ONLINE











