Sejauh mana keaslian produk herba tempatan? - Utusan Malaysia

Sejauh mana keaslian produk herba tempatan?

DR. LING Sui Kiong bersama Penolong Pegawai Penyelidik, Salbiah Man menjalankan kerja-kerja analisis di makmal FRIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALANGKAH gembiranya usahawan herba yang berjaya memasarkan produk yang dibangunkan menjadikannya kaya-raya.

Ini kerana industri herba ketika ini bukan kecil. Permintaan tinggi didorong oleh ketaksuban masyarakat kita tentang khasiatnya dan kebanyakannya pula secara membuta-tuli. Dakwaan yang tidak dibuktikan secara saintifik itu pula yang menjadi pegangan dan dipercayai.

Justeru bagi menafikan dakwaan tiada bukti saintifik yang boleh memberi ancaman tentang keselamatan dan keberkesanan tentang khasiat sesuatu herba, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menawarkan perkhidmatan teknikal untuk membantu usahawan terlibat.

Seorang penyelidik daripada Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr. Ling Sui Kiong berkata, FRIM dapat membantu usahawan yang disebutkan dalam dua cara.

“Mereka boleh datang untuk menguji khasiat herba melalui aktiviti penyelidikan bersandarkan tuntutan penggunaan dan kedua, menentukan jenis herba tersebut adalah sama ada tulen, spesies yang betul atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau berkata, FRIM akan menjalankan analisis mengikut kesesuaian terhadap sampel-sampel yang dibawa oleh usahawan yang akan jadikan bahan asas penghasilan sesuatu produk.

Khasiat sesuatu herba atau tumbuhan ubatan ditentukan oleh kehadiran sebatian kimia yang terkandung di dalamnya dan analisis kimia perlu dilakukan bagi menentukan apakah jenis sebatian aktif berkenaan.

Penyelidikan juga akan menentukan kehadiran sebatian aktif atau penanda yang terkandung di dalamnya.

Daripada hasil analisis, dapatan ciri-ciri yang diperoleh dan seterusnya dibandingkan dengan pangkalan data sedia ada yang disimpan di FRIM. Kaedah tersebut juga dapat menentukan ketulenan herba berkenaan.

“Kadangkala ada yang membawa sampel tidak pun mengetahui tumbuhan berkenaan atau sebaliknya,” ujar beliau.

Berkongsi lebih lanjut, Dr. Ling memberitahu, analisis sesuatu sampel herba bagi mengenal pasti kandungan sebatian aktif di makmal boleh dijalankan menggunakan kromatografi cecair berprestasi tinggi atau kromatografi cecair bertekanan tinggi (HPLC).

Kaedah HPLC merujuk kepada pengasingan campuran sebatian kimia untuk mengenalpasti kehadiran sebatian penanda. Ia sekali gus mendapatkan profil kimia keseluruhan bagi pengesahan identiti herba yang dikaji terutamanya bagi sampel bahan mentah yang diterima dalam bentuk yang telah diproses seperti serbuk atau cecair.

Dalam hal ini juga, ahli botani akan menjalankan analisis di bawah mikroskop bagi menentukan bahagian manakah pada herba tersebut yang digunakan dalam produk, sama ada daun, batang atau mungkin buah serta bahagian lain.

“Dalam keadaan ini , usahawan adalah digalakkan membawa sampel hidup atau pokok hidup,” ujarnya.

Menurut beliau, peranan ahli botani sangat penting. Mereka akan buat pengecaman berdasarkan ciri-ciri khas pada pokok atau herba, menyediakan spesimen herbarium untuk rujukan dan juga membuat keratan rentas untuk pengecaman lanjutan sekiranya sampel yang dibekalkan tidak lengkap seperti ketiadaan buah atau bunga.

Data-data yang diperoleh akan digunakan untuk membuat perbandingan ciri dan semakan dengan merujuk kepada buku-buku rujukan yang diiktiraf dalam bidang botani atau merujuk kepada Monograf Herba Malaysia atau mana-mana monograf dari negara lain.

Penentuan ketulenan sangat penting kerana sebatian aktif sesuatu herba mungkin banyak terdapat hanya di bahagian tertentu sama ada daun, batang atau akarnya.

“Cuba bayangkan sekiranya sampel yang dibawa dalam bentuk hirisan kecil atau serbuk yang didakwa merupakan akar tongkat ali, orang biasa mungkin tidak dapat kenal pasti ketulenannya.”

“Orang biasa hanya tahu ia (sampel) yang dibawa mungkin tongkat ali tetapi paling tepat apakah spesiesnya, mereka tidak akan tahu melainkan dengan menjalankan analisis di makmal,” kata beliau.

Analisis di makmal akan menentukan bahagian mana pada pokok berkenaan dengan melihat struktur sel di bawah mikroskop. Sebagai contoh sekiranya menunjukkan kehadiran liang atau stomata, maka sampel adalah daripada bahagian daun.

Penentuan kehadiran sebatian aktif yang terkandung dalam herba yang digunakan adalah penting untuk memastikan khasiat dari segi nilai perubatan pokok berkenaan dapat dimanfaatkan. Selain itu, kehadiran sebatian ini juga penting bagi menjamin kualiti produk yang akan dihasilkan.

Ketika ini terdapat sebuah badan yang mengawal selia pendaftaran produk berasaskan bahan semula jadi yang membenarkan pihak pengeluar membuat pendaftaran dengan tuntutan terapeutik.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan iaitu Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), di bawah Kementerian Kesihatan.

Salah satu elemen yang perlu untuk pendaftaran ini ialah penentusahihan (authentication) herba yang dibangunkan berdasarkan parameter yang digariskan dalam monograf atau farmakopia.

Justeru bagi memastikan produk berkualiti, beliau berharap usahawan atau mana-mana pihak yang berkaitan yang perlu menentusahkan ketulenan herba yang digunakan boleh menghantar sampel ke Bahagian Hasilan Semula Jadi, FRIM untuk dianalisis.

Analisis tersebut dapat mengesahkan keaslian herba yang digunakan, sekali gus mengelakkan penggunaan herba yang tidak tulen dalam penghasilan produk akhir. Ini penting bagi memastikan khasiat yang diuar-uarkan dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

Dakwaan kerberkesanan sesuatu produk perlu diuji secara praklinikal termasuk ujian toksisiti dan farmakologi dan ujian klinikal bagi mengelakkan penggunaannya memudaratkan pengguna.

Ujian farmakologi penting bagi menentukan sejauhmana kesan produk berkenaan kepada badan manusia atau sistem biologi manusia.

Kesan ini berbeza antara manusia, apatah lagi dalam sesuatu herba, kandungannya agak kompleks.

“Dalam herba itu ada banyak bahan kimia, bukan bahan tunggal seperti dalam ubat-ubatan moden. Ia juga perlu diambil mengikut dos tertentu yang ditetapkan.

“Kami tawarkan perkhidmatan teknikal termasuk ujian makroskopi, mikroskopi dan analisis kimia bagi penentuan ketulenan herba.

“Kami juga tawarkan pakej analisis penentuan logam berat dan kontaminasi mikrob (terhadap bahan mentah) sebelum digunakan untuk penghasilan produk,” katanya lagi.
Bahan mentah yang berkualiti sepatutnya tiada kontaminasi.

Pihaknya mampu mengeluarkan laporan hasil analisis dalam tempoh 15 hari bekerja.

Perlu pelan strategik dan hala tuju

Industri herba tempatan wajar terus diperkasa memandangkan potensinya yang besar dari segi pasaran dan penjanaan kekayaan kepada pengusaha.

Walau bagaimanapun Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Maslina Jamil berkata, satu pelan strategik hala tuju penyelidikan dan industri perubatan herba tempatan perlu diwujudkan untuk mengenengahkan Malaysia sebagai pelopor dalam inovasi dan industri perubatan herba berasaskan kajian saintifik.

Dalam masa sama katanya, kelulusan dan kriteria yang diluluskan oleh Agensi Regulatori Famaseutikal Kebangsaan (NPRA) perlulah menjadi tunjang utama dalam hala tuju penyelidikan dan inovasi produk berasaskan herba.

Selain itu katanya, bantuan bimbingan dan dana yang boleh membantu penerokaan kajian saintifik berkaitan tumbuhan herba meliputi keperluan ujian praklinikal dan ujian klinikal bagi menentusahkan keselamatan produk.

“Rangka kerja yang jelas yang dibangunkan oleh semua pihak berwajib berkaitan hasrat, harapan, peranan dan hala tuju Malaysia dalam industri herba perubatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, fasa pembangunan produk inovasi berasaskan tumbuhan herba daripada peringkat awal saringan sebatian bioaktif sehinggalah pembangunan teknikal, ujian berkaitan seperti toksikologi, praklinikal, ujian klinikal dan lain-lain ujian berkaitan serta kelulusan NPRA adalah menjadi perkara penting dan perlu menjadi keutamaan.

Di samping itu katanya, fasa penyelidikan komprehensif berasaskan tumbuhan herba, penekanan dari aspek perlindungan harta intelek, kriteria pemfailan paten, pembuktian konsep, pembangunan produk dan pasaran serta kelulusan piawaian pihak berwajib perlu diberi perhatian sewajarnya supaya produk yang menepati ciri tersebut diketengahkan dan dilindungi di bawah harta intelek.

Beberapa perkara lain yang perlu diambil kira antaranya penekanan konsep daripada makmal kepada pasaran (lab to market) perlu dijadikan asas bagi mengenengahkan produk inovasi berasaskan tumbuhan herba yang melepasi piawaian kualiti, bermanfaat serta selamat.

Beliau turut berpendapat, perlunya kerjasama strategik antara penyelidik, universiti, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan industri bersifat multinasional dalam bidang farmaseutikal, nutraseutikal dan industri berasaskan herba adalah amat penting dalam menjayakan usaha penyelidikan, pembangunan produk dan pengkomersialan berasaskan produk herba.

Perkara tersebut katanya perlu disokong dengan penggunaan teknologi terkini dan inovatif bagi menghasilkan produk herba yang berkualiti dan ia amat diperlukan bagi tujuan pengkomersialan.
Maslina juga berharap, sumber dan bekalan mentah herba perlu sentiasa ada dan berterusan dengan memastikan penanaman sepanjang tahun bagi keperluan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×