KUALA LUMPUR – Meskipun dilanda beberapa masalah termasuk penutupan venue latihan dan kekurangan pendedahan kejohanan antarabangsa mahupun kebangsaan, skuad menembak negara optimis merealisasikan sasaran dua pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Pengurus pasukan, Datuk Musa Omar, berkata melalui pengamatannya sebagai anggota Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), penembak negara berada di landasan tepat untuk mempamerkan aksi cemerlang di temasya dwitahunan itu.
“Mereka nampak bersedia, tidak kira dari segi mental mahupun fizikal namun sudah pasti satu sesi latihan lengkap bersama jurulatih negara, Park Sang Soon akan dilakukan dalam tempoh dua bulan sebelum ke Filipina, “ katanya dalam sidang akhbar Team Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Berita berkaitan:
Sebelum ini, Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang terpaksa ditutup hampir sembilan bulan ekoran kes jenayah, namun ia telah dibuka semula pada akhir Mei lalu.
Ekoran daripada penutupan itu, skuad penembak kebangsaan terpaksa menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang agak kecil dan tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan.
Terkini, bermula pada Selasa, kesemua penembak negara telah dipanggil untuk menjalani latihan secara berpasukan, sama ada di Lapang Sasar Menembak Subang atau Lapang Sasar MSN berdasarkan keputusan oleh jurulatih.
Ditanya mengenai adakah persiapan atlet terganggu apabila venue latihan skuad kebangsaan itu terpaksa ditutup, Musa mengakui penembak negara sudah pasti terkesan dengan keadaan berkenaan.
Namun, katanya, pihak NSAM dapat mengatasi masalah itu dengan menambah masa latihan dan berbincang dengan penembak mengenai keperluan mereka.
“Saya harap dua bulan terakhir sebelum ke Sukan SEA, penembak boleh beri kerjasama dan mendapat manfaat secukupnya daripada jurulatih. Saya yakin pasukan negara akan cemerlang berdasarkan kepada sasaran yang ditetapkan,” katanya.
NSAM sebelum ini mengumumkan dua sasaran pingat emas dengan menghantar 16 wakil yang akan menyertai 10 daripada 14 acara dipertandingkan.
Sukan SEA Filipina akan bermula 30 November hingga 11 Disember ini. – BERNAMA











