PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya merampas 537 kilogram (kg) daun ketum dan sebuah kereta jenis Alphard menerusi dua serbuan berasingan bernilai RM108,290 di sini hari ini.
Komandernya, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 4 petang semalam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Raja Dagang, di sini dan menemui sejumlah bungkusan plastik daun ketum lebih 500 kg.
“Tiada tangkapan dibuat selepas anggota yang bertugas menunggu di sekitar lokasi itu selama lebih satu jam untuk mencekup pemiliknya.
“Dalam serbuan yang kedua di sebuah rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, Terengganu pada pukul 3 pagi ini, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun bersama satu bungkusan daun ketum seberat 11 kg dalam satu plastik berwarna hitam,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Tok Bali, di sini hari ini.
Norzaid berkata, hasil pemeriksaan turut menemui satu periuk besar berisi daun ketum yang direbus di ruang dapur dan 59 bungkusan cecair disyaki air ketum yang siap dibungkus untuk dipasarkan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menjumpai 11 botol cecair ‘Uphadylforte Expectorant’ disyaki ubaf batuk yang dioercayai untuk dijual bersama-sama daun ketum.
“Polis juga turut menemui dua bungkusan lagi daun ketum seberat 26 kg di dalam sebuah kereta Alphard. Semua barang kes dibawa ke Markas Taktikal PPM Tok Bali untuk tindakan lanjut.
” Suspek yang masih dalam jaminan polis berkaitan kes yang sama kini ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Norzaid berkata, operasi yang sama akan diperhebatkan terutama di kawasan pesisiran pantai di mana serbuan pantas akan dijalankan menerusi risikan dan makkumat awam. – K! ONLINE










