Dua menara Sena Residences capai 98% kadar jualan - Utusan Malaysia

Dua menara Sena Residences capai 98% kadar jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menara B dan D bagi pembangunan Sena Residences di Seksyen 14, Shah Alam mencatatkan kadar jualan sebanyak 98 peratus dalam tempoh enam bulan sejak pelancaran rasminya pada Disember 2025.

Prestasi luar biasa oleh pemaju hartanah Setia Awan yang melibatkan jualan sebanyak 940 unit itu didorong oleh faktor lokasi strategik, susun atur fleksibel, serta penyediaan kemudahan menarik.

Susulan permintaan yang amat menggalakkan itu, Setia Awan bertindak melancarkan jualan dua blok terakhir dalam pembangunan tersebut lebih awal daripada jadual asal, membabitkan sejumlah 1,102 unit merangkumi pangsapuri servis dan unit transit Soho.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Setia Awan Land, Miles Chan berkata, sambutan hebat bagi dua menara pertama Sena Residences itu membuktikan pendekatan syarikat dalam memaksimumkan ruang dan menawarkan nilai terbaik bertepatan dengan permintaan pasaran semasa.

“Dua blok terakhir ini akan meneruskan falsafah tersebut dengan menawarkan kepelbagaian susun atur kepada pengguna, di samping mengekalkan kos pembelian yang berputusan,” katanya dalam kenyataan.

Sena Residences direka khas untuk profesional bandar dan pemilik rumah kali pertama dengan menawarkan rangkaian susun atur unit dinamik, daripada Unit Keluarga empat bilik konvensional sehinggalah Unit Transit Soho yang unik.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan projek Astrum Ampang sebelum ini, Sena Residences kini menjadi pembangunan pertama yang memperkenalkan konsep Unit Transit Soho di Shah Alam.

Tipologi baharu itu dibina selaras dengan laluan LRT3 Shah Alam Line yang dijadualkan dibuka pada penghujung Jun ini, khususnya stesen Datuk Menteri yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari kediaman tersebut.

“Dengan pembinaan ini, kami memenuhi keperluan generasi baharu yang mahukan ruang sendiri pada harga mampu milik dan mahu terhubung dengan rangkaian pengangkutan awam.

“Unit Transit Soho menawarkan bilik tidur, ruang tamu dan kawasan dapur kecil pada harga RM230,000 sahaja. Ia akan terasa seperti bilik hotel eksekutif tetapi milik anda sepenuhnya,” tambahnya.

Menterjemahkan konsep gaya hidup “kediaman di atas, kedai di bawah”, Setia Awan kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa penyewa terkemuka daripada sektor penjagaan kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, serta makanan dan minuman (F&B).

Rangkaian perniagaan itu bakal ditempatkan di kawasan boulevard bagi lot kedai komersial di bawah Sena Residences untuk kemudahan penduduk dan komuniti sekitar.

Selain itu, portfolio syarikat turut diperkukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk pusat membeli-belah komuniti pertama di Bukit Ampang Permai, kerjasama dengan Billion Group di dua projek Melaka, serta beberapa projek akan datang di Selayang, Shah Alam dan Tanjung Malim. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN