PH peka nasib Melayu - Utusan Malaysia

PH peka nasib Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJASAMA antara UMNO dan Pas yang telah dizahirkan menerusi Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) pada Sabtu lalu menerima respon pelbagai. Ada melihatnya positif, tidak kurang memandang sinis dengan melontarkan komen tidak matang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), DATUK SERI MOHD. REDZUAN YUSOF dalam kalangan sebilangan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang melihat impak HPU itu dari sudut positif.

Dalam wawancara sejam dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar, FAUZI BAHARUDIN di Bangi Selangor, kelmarin, beliau turut terpanggil mengulas pencapaian besar MED yang diwujudkan kembali oleh kerajaan PH pada 2 Julai 2018 khususnya bagi membantu usahawan Melayu.

FAHAMI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

SAYA berpandangan HPU ini suatu penampilan yang begitu positif kalau kita lihat dari sudut apa yang ditulis dahulunya contoh oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dalam buku) The Malay Dilemma di mana kita ini mesti bersaing.

Hari ini selepas 62 tahun merdeka, saya berpendapat Melayu ini dalam krisis. Kalau kita lihat bangsa Malaysia ini diwujudkan berdasarkan Perlembagaan dengan adanya Rukun Negara yang menyatakan sendiri ciri-ciri yang menampakkan pimpinan bangsa Malaysia ini perlu diketuai oleh orang Melayu. Ini kita kena sedar.

Kalau kita teliti betul-betul apakah definisi dalam Perlembagaan itu sendiri, Melayu mesti memimpin bangsa Malaysia. Bahasa kebangsaan, agama (Islam), raja-raja (semuanya ada kaitan dengan Melayu), perkara itu jelas.

Apabila saya sebut Melayu dalam krisis, ini bermaksud kita tidak diberi pengetahuan, tidak diberi pengajaran di peringkat kepemimpinan dan juga akar umbi (mengenai apa yang termaktub dalam Perlembagaan), maka kita leka.

Dengan adanya HPU, dari segi pandangan positif saya menampakkan ada kesedaran (Melayu mesti memimpin bangsa Malaysia).

PH LEBIH BERDAYA SAING

HPU ini pergerakan yang sihat. Dengan wujudnya pembentukan gagasan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, ini menjadikan PH lebih mahu bersaing untuk menampilkan perjuangan yang menurut Perlembagaan.

Jadi (pihak dalam) PH dan sesiapa yang tidak mengikut Perlembagaan mesti sedar kalau kita tidak memperjuangkan kerajaan baharu berlandaskan Perlembagaan, maka kita akan ketinggalan dari sudut pertandingan (dengan UMNO dan Pas).

Cuma Melayu hari ini kalau kita lihat, kita tidak berani langsung hendak menyatakan kita bangsa Melayu, sebabnya orang lain mengatakan bila kita sebut sahaja bangsa Melayu, kita rasis. Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan pendapat sebahagian daripada rakan-rakan saya sendiri yang berpolitik tentang perkara ini (anggap HPU bertujuan memperjuangkan kaum).

Ini sepatutnya dilihat sebagai pertandingan yang sihat dua muafakat. Satu muafakat PH satu lagi Muafakat Nasional dibawa oleh UMNO dan Pas untuk mewujudkan bangsa Malaysia dipimpin oleh Melayu yang hidup bersatu padu, aman dan sejahtera.

Yang pentingnya adalah kerja-kerja yang betul dan benar ini saya akan terus galakkan apa sahaja bentuk penyatuan ummah dari sudut membela bangsa Malaysia itu sendiri yang dipimpin oleh bangsa Melayu, kena teruskan.

TIDAK LINDUNGI PEMIMPIN MUNGKAR

Kalau dilihat dari segi negatifnya (HPU), kalau ada agenda yang tersirat untuk melindungi pemimpin-pemimpin yang telah melakukan kemungkaran, maka saya tak bersetujulah. Itu jelas.

Kalau penyatuan ummah itu untuk mempertahankan hak individu contohnya yang telah melakukan kesalahan hendak meruntuhkan negara, itu saya tak setuju. Kalau ada pihak menyifatkan HPU seolah-olah telah mendapat sijil nikah dari hubungan sulit, bagi saya itu adalah fornication (berzina).

RAKYAT TIDAK TINGGAL PH

Saya tidak nampak HPU ini menandakan wujud gelombang orang Melayu meninggalkan kerajaan PH. Orang Melayu ini sekarang sudah cerdik pandai dan kalau kita lihat gelombang itu (HPU) memberi penyinaran kepada PH.

Yang pentingnya PH pun kena peka akan untung nasib ataupun masa depan bangsa Melayu itu sendiri. Sebab bangsa Melayu adalah penduduk majoriti di negara Malaysia dan juga dilindungi oleh Perlembagaan. Walaupun orang Melayu mempunyai kelebihan itu, mereka tidak menggunakannya sebagai senjata besar (untuk kelebihan diri sendiri) untuk memastikan terus wujud bangsa Malaysia di negara ini.

Contoh, hari ini mana perginya penyatuan menurut Perlembagaan dari segi penggunaan bahasa kebangsaan dan sekolah satu aliran, tak ada. Sepatutnya PH baharu ini menjelaskan kembali pelaksanaan Perlembagaan itu sendiri.

Bagi saya penyatuan melalui satu bahasa penting sebab kita tidak boleh menyatukan masyarakat pelbagai dalam satu agama. Sebab agama dia adalah agama dia tetapi bahasa itu sendiri kita boleh satukan.

Di Sweden, Jerman dan Perancis, kita boleh menjadi orang Melayu dan Afrika walaupun menetap di sana tetapi mesti mengikuti sistem persekolahan negara itu dan bertutur bahasa tempatan. Ini akan mewujudkan perpaduan.

Kita sendiri sebagai kerajaan kena mengadakan satu ekosistem yang lengkap untuk menggalakkan mereka ini mentaati apa yang kita telah maktub dalam Perlembagaan.

LEBIH MELAYU DARIPADA UMNO?

Saya ingin mengulas kenyataan (pemimpin veteran DAP) yang mengingatkan PH supaya tidak cuba menjadi “Lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada Pas” dalam menghadapi kerjasama rasmi UMNO dan Pas.

Saya berpendapat tiada sama sekali isu siapa lebih Islam kerana Islam adalah agama untuk semua dan tiada lebih Islam daripada Islam. Tiada juga perkara-perkara lebih Melayu daripada Melayu. Saya pun tak faham kenapa kenyataan begitu dibuat dan dia tak sepatutnya membuat kenyataan begitu.

Kenapa ada kerisauan mengenai HPU? Sepatutnya dia menyambut baik kerana dengan adanya penyatuan umat Melayu ini akan memberi kita lebih motivasi untuk menyatukan bangsa Malaysia. Kenapa kita nak risau dengan HPU, adakah orang Melayu akan menidakkan hak orang bukan Melayu. Tidak pernah, sebaliknya kita beri ruang seluas-luasnya untuk mereka berniaga.

KETUA Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Datuk Seri Zaienal Abidin Omar (kiri) turut
KETUA Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Datuk Seri Zaienal Abidin Omar (kiri) turut hadir ketika wawancara dengan Mohd. Redzuan Yusof di Hotel Tenera, Bangi, Selangor kelmarin. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN 

Setelah setahun dua bulan, kata Redzuan:

DKN 2030 FOKUS HASIL

KERAJAAN terdahulu telah memberi peluang kepada usahawan Melayu terlibat dalam pembangunan ekonomi negara dengan memberi permit, kontrak dan kuota khusus tetapi kita mendapati banyak yang bersifat political patronage, jadi kita tidak nampak keberkesanannya.

Dasar kerajaan yang lepas baik tetapi pelaksanaan memang kurang baik. Sebab itu kita lihat pencapaian itu tidak ke mana pun. Contohnya, kalau kerajaan terdahulu beri 30 peratus agihan kontrak untuk bumiputera, tetapi hakikatnya ketirisan berlaku. Maka yang golongan itu dapat hanya antara lapan dan sembilan peratus sahaja.

Maka kerajaan PH telah mewujudkan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang akan memberi fokus kepada hasil. Kita akan mengagihkan kepada mereka yang mempunyai disiplin dan tidak akan menjual kontrak yang diberikan. Terdapat banyak kejayaan daripada perubahan fokus MED ini setelah lebih setahun kerajaan PH memerintah.

USAHAWAN MIKRO RAIH MANFAAT

Kejayaan yang saya mahu sebut melibatkan usahawan kecil atau mikro terutama di luar bandar. Mereka nampaknya telah menerima manfaat daripada bantuan kewangan yang kerajaan salurkan dan secara suka rela sanggup bekerja lebih kuat.

Kita juga telah gerakkan koperasi untuk bersama-sama mengadakan jaringan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk membesarkan peluang pasaran kepada usahawan kecil berkenaan.

KERETA TERBANG?

Saya berasa gembira kerana pada acara Sambutan Hari Malaysia 2019 di Sarawak baru-baru ini ketika penghujung klip video yang ditayangkan terdapat model kereta terbang.

Saya pun terkejut kerana dahulunya orang tak nampak (teknologi berkenaan). Tiba-tiba sekarang ia telah menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Ini semua adalah hasil galakan kerajaan supaya usahawan melibatkan diri untuk melakukan inovasi termasuk menjadikan hobi sebagai satu perniagaan. Dalam projek kereta terbang kerajaan hanya memberi galakan dan bukan terlibat mengeluarkan dana atau bergiat aktif dalam perniagaan.

Saya turut mendapat galakan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri untuk mempercepatkan pengeluaran produk-produk yang berasaskan kepada inovasi ini. Sekarang kereta terbang dan pada masa depan mungkin jet bisnes elektrik.

GRADUAN PANTAS KE INDUSTRI

MED juga memberi tumpuan untuk melaksanakan program bagi memberi nilai kepada graduan. Maksudnya graduan terbabit setelah dilatih dan mendapat sijil dengan serta-merta dapat diterima oleh industri.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan apabila mereka ini mendapat sijil mereka terus memperoleh pekerjaan ataupun menjadi usahawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×