KUALA LUMPUR 17 Sept. – Kerajaan digesa supaya bertindak lebih tegas dan teliti dalam memastikan insiden membabitkan penjualan sijil lahir dan Mykad tidak lagi berulang pada masa depan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Najwah Halimah Ab. Alim, penahanan dan pendakwaan terhadap 20 individu atas pertuduhan berkaitan kes penjualan sijil lahir dan MyKad, merupakan perbuatan terkutuk dan suatu pengkhianatan kepada negara.
“Penyelewengan ini saya pasti bukan hanya melibatkan penjawat awam sahaja tetapi turut sama melibatkan sindiket kongsi gelap.
Berita berkaitan:
“Malah jika salah laku ini melibatkan ahli politik, mereka juga perlu didakwa serta dijatuhkan hukuman berat kerana jika dibiarkan berterusan, sudah pasti ia mampu merubah keadaan sosio ekonomi serta politik negara sekali gus mengancam keselamatan negara kepada musuh,” ujar beliau ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.
Ujar Najwah Halimah lagi, siasatan menyeluruh perlu diperhalusi, agar tangkapan dan hukuman juga dikenakan kepada pihak yang bersengkongkol dalam memberi rasuah, atau dengan sengaja melakukannya demi meraih kepentingan politik serta merubah pola pengundian dalam pilihan raya.
“Saya difahamkan, sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan, dalam proses kelulusan MyKad. Namun perkara ini perlu kajian menyeluruh dan diimplementasi segera, agar kita tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada sistem pengkomputeran sahaja.
“Proses semak dan imbang perlu dilakukan oleh petugas di Jabatan Pendaftaran Negara serta mungkin boleh melibatkan agensi berkaitan di dalam jabatan kerajaan supaya ia dilakukan secara lebih tegas dan teliti tanpa sebarang kompromi.
“Kerajaan juga perlu lebih tegas terhadap kadar kemasukan warga asing, serta memastikan jumlah mereka yang kembali ke negara asal adalah setara. Selain itu, premis-premis perniagaan melibatkan warga asing wajar dipantau dan dikawalselia dengan ketat oleh pihak berwajib,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Tekun Nasional.
Dalam masa yang sama, Najwah Halimah turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana berjaya membongkar salah guna kuasa dan jenayah kolar putih melibatkan isu ini yang jika tidak ditangani segera mampu mengancam keselamatan negara. – UTUSAN ONLINE











