PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan corak jualan berterusan mereka di Bursa Malaysia, mencatatkan minggu kedua belas berturut-turut aliran keluar bersih sebanyak -RM502.2 juta, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar diperhatikan pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar pada hari Khamis sebanyak -RM162.3 juta, manakala hari-hari lain mencatatkan aliran keluar antara -RM56.1 juta hingga -RM111.5 juta.
“Dua sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah Pembinaan (RM271.1 juta) dan REITs (RM20 juta).
“Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih terbesar adalah Utiliti (-RM142.7 juta), Perkhidmatan Kewangan (-RM130.0 juta) dan pengangkutan serta logistik (-RM92.5 juta),” katanya dalam nota aliran dana.
Jelas MIDF Research, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua belas dengan pembelian bersih sebanyak RM281.9 juta, memanjangkan corak pembelian mereka kepada 36 hari dagangan berturut-turut.
“Pelabur runcit tempatan beralih arah, menjadi pembeli bersih selepas dua minggu berturut-turut menjual, dengan mencatatkan aliran masuk bersih yang kukuh sebanyak RM220.3 juta.
“Aktiviti dagangan meningkat merentas semua kategori, dengan jumlah dagangan harian purata (ADTV) meningkat sebanyak +30.8 peratus untuk pelabur asing, +29.8 peratus untuk institusi tempatan, dan +19.8 peratus untuk pelabur runcit,” katanya. UTUSAN










