NILAI – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta di Jalan Mantin-Seremban dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Anawar Din yang beralamat di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
“Semasa kejadian kereta Proton Saga dipandu mangsa itu dalam perjalanan dari arah Pekan Mantin menuju ke Beranang.
“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah Toyota Vios yang memasuki laluan mangsa dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, Mohd. Nor Anawar mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, penumpang Proton Saga, Nur Alisha Danish Hisrall, 4, mengalami kecederaan pada kepala dan dikejarkan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi menerima rawatan.
Kata beliau, pemandu Toyota Vios seorang lelaki berusia 26 tahun cedera pada bahagian dada dan turut dihantar ke HTJ.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











