PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bercadang mengambil alih 80 peratus kepentingan dalam Bukit Jalil Sentral Property Sdn. Bhd. (BJSP) melalui pembelian saham daripada Tanjung Wibawa Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, cadangan itu melibatkan pembelian lapan juta saham biasa dan 1.13 bilion saham keutamaan boleh ditebus Kelas A dalam BJSP pada nilai keseluruhan RM1.58 bilion yang akan dibiayai sepenuhnya secara tunai.
Katanya, transaksi itu akan dilaksanakan oleh Rukun Juang Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh MRCB Land Sdn. Bhd.
Sebuah surat nasihat bebas turut disediakan kepada pengarah dan pemegang saham tidak berkepentingan bagi menilai urus niaga berkenaan.
Sebelum ini, kedua-dua pihak turut menandatangani Perjanjian Langganan dan Pemegang Saham (SHA) pada 31 Mei 2017, yang melibatkan pemindahan tanah bernilai RM1.426 bilion oleh Rukun Juang kepada BJSP serta pelaburan oleh Rukun Juang dan Tanjung Wibawa melalui langganan saham baharu bagi pembangunan tanah secara bersama.
SHA ini masih berkuat kuasa sehingga kini tetapi akan terbatal secara automatik selepas pengambilalihan dimuktamadkan.
Penyempurnaan cadangan pengambilalihan dijadualkan berlaku pada hari bekerja yang jatuh empat bulan selepas tarikh tanpa syarat atau 15 Jun 2026, yang mana lebih awal. – UTUSAN











