‘Berdebar tunggu Haji Akbar’ - Utusan Malaysia

‘Berdebar tunggu Haji Akbar’

Jemaah teruja untuk melaksanakan ibadah haji lebih-lebih lagi ibadah haji tahun ini mempunyai kelebihan tersendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata jemaah melahirkan keterujaan untuk melaksanakan ibadah haji, apatah lagi selepas rukun Islam Kelima pada tahun ini adalah Haji Akbar yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Seorang jemaah dari Perak, Najmi Azfar Mohd Rosli, 36, berkata, perasaannya kini bercampur baur apabila dikhabarkan pada tahun ini adalah Haji Akbar di mana Hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat.

Katanya, ini kerana dia tidak menyangka dapat merasai pengalaman kelebihan tersebut pada kali pertama menunaikan ibadah tersebut.

“Dari segi persediaan, saya dan jemaah lain berehat daripada melakukan aktiviti umrah dan hanya berkunjung ke kedai-kedai berdekatan sahaja.

“Selain itu menggunakan perkhidmatan bas percuma yang dikenali Makkah Bus untuk ke kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Najmi Azfar, pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) juga sangat membantu terutama dari segi persediaan dan pergerakan para jemaah di sana.

Namun, katanya, agak terkejut apabila berlaku sedikit perubahan pergerakan ketika di sana berbanding semasa latihan.

“Di mana ketika praktikal jemaah membayangkan akan bermabit lama di Muzdalifah tetapi dikhabarkan akan bermabit sekejap sahaja di atas bas berikutan untuk memudahkan pergerakan.

“Jadi pergerakan daripada Arafah ke Mina bermula pada pukul 6.30 petang. Dijangka pukul 11 malam ke atas baru sampai di Muzdalifah dan akan terus bergerak ke Mina,” katanya.

Untuk rekod, kuota rasmi haji buat Malaysia bagi tahun 1444 Hijrah ditetapkan pada 14,306 jemaah.

Jumlah kuota yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi itu adalah 45 peratus daripada kuota rasmi tahunan yang biasa diperoleh negara, iaitu 31,600 jemaah pada 2019.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×