Bumi kita hampir tergadai jika... - Utusan Malaysia

Bumi kita hampir tergadai jika…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA hampir-hampir kehilangan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis jika tiada perjanjian antara British dan Siam (nama lama Thailand) tahun 1909, biarpun Petani terlepas daripada tangan kita. Dalam suasana merdeka ini, kita cuba melihat perjalanan lama kita sebelum merdeka. Kita bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874, pasca era Portugis dan Belanda.

Perjanjian ini membawa British memasuki Perak. Pada tahun sama, Sungai Ujung, rujukan lama Negeri Sembilan, sama-sama diresapi British. Pada 1888, Pahang turut serta. Selangor pula tercakup sama pada 1895.

Keempat-empatnya dijadikan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Inggerisnya, Federated Malay States, FMS). Jawatan Resident-General (RG), bos kepada Residen-Residen negeri, diwujudkan. Frank Swettenham ialah RG pertama. Beliau lantas menyiapkan Carcosa sebagai kediaman rasminya pada 1898.

Memuatkan artikel berkaitan…

Swettenham sebelumnya pada usia 24 ialah penggubal Perjanjian Pangkor 1974. Setahun kemudian, Residen Perak pertama J.W.W Birch mati dibunuh. Tentunya peristiwa pembunuhan Birch ini terbukti menjadi satu sejarah lantang dan mencabar.

Swettenham ialah salah seorang pendakwa di mahkamah membicarakan mereka yang tertuduh. Sultan Abdullah dan beberapa orang pembesar dibuang negeri ke Pulau Seychelles dekat Afrika. Ada yang tercampak ke negeri-negeri lain. Beberapa orang termasuk Datuk Maharaja Lela dihukum gantung.

Politik setempat dan politik dengan Siam telah mempercepatkan persaraan Swettenham ketika berpangkat Gabenor/Pesuruhjaya Tinggi. Buruk beliau, ada; baik beliau pun ada. Beliau kurang ‘ngam’ dengan sesetengah Sultan. Sebaliknya beliau amat serius mahukan Patani masuk ke dalam pemerintahan British di Tanah Melayu. Politik Siam melalui King Chulalongkorn, dengan campur tangan pegawai-pegawai British di Siam dan Tanah Melayu, menggagalkan usahanya.

Salah satu kebimbangan Swettenham ialah kemungkinan Siam akan dijajah Perancis. Jika berlaku begitu, maka lima negeri Melayu itu akan masuk ke tangan Perancis. Ini akan memalukan British. Namun di luar pautan pegawai, King Chulalongkorn berkunjung ke Eropah dan berjumpa dengan Tsar (Raja) Rusia yang permaisurinya ialah cucu Queen Victoria, England. Chulalongkorn memang biasa dengan Eropah kerana kerap dibawa oleh pengasuhnya, Anna (terkenal dalam filem Anna and the King), seorang wanita Inggeris.

Chula meminta kerjasama Tsar agar British tidak memasuki Siam. Queen Victoria mendapat perutusan itu. Dari situlah langkah British untuk lajak ke Siam terbantut. Sebagai pelembut, Chula menawarkan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, tanpa Patani, lalu diterima British pada 1909.

Seorang lagi tokoh kolonial British yang sangat rapat dengan orang Melayu ialah Hugh Clifford. Jika Swettenham disempenakan dengan Port Swettenham (kini Port Kelang), Hugh Clifford disempenakan dengan Clifford School, Kuala Kangsar, Perak dan Clifford School, Kuala Lipis, Pahang.

Kesungguhan Swettenham hendak mengambil Patani dan kemesraan Clifford dengan orang Melayu menjadi sebab mengapa kedua-duanya mengalami tekanan berat. Justeru pada tahun 1903 Swettenham minta bersara dan pulang ke England, sedangkan Clifford ditukarkan ke Trininad di Caribbean dekat Amerika Syarikat (AS). Dua puluh empat tahun kemudian, 1927, Clifford pulang ke Tanah Melayu sebagai Gabenor/Pesuruhjaya Tinggi.

Kerajaan British yakin beliaulah orangnya yang boleh mententeramkan keresahan Melayu yang hendak merdeka selaras dengan perjuangan di Hindia Timur (kini Indonesia). Swettenham pula, selepas berakhir Perang Dunia Kedua, menyuarakan di London pada 1946 agar Siam menyerahkan Patani kepada Tanah Melayu sebagai penebus dosa besarnya bersubahat dengan Jepun. Bagaimanapun, kerajaan British dan Perancis lebih bertumpu memulihkan semula keruntuhan perang. Soal Petani hanyut begitu saja. Swettenham meninggal tidak lama kemudian pada usia 96 tahun.

Malayan Union 1946 yang terbatal. Persekutuan Tanah Melayu 1948, pengganti. Pemberontakan komunis 1948-1960 (lebih lama, sebenarnya). Tragedi 13 Mei 1969. Dasar Ekonomi Baru. Kejatuhan kerajaan yang memerintah sejak merdeka 1957.

Segala itu adalah jejak-jejak dan cabaran menuju dan memenuhi kemerdekaan. Soalnya: apa jadi pada empat negeri kita itu jika British tidak menjajah Tanah Melayu? Apa pun jawapannya, ia menjadi satu rangsangan bahawa kemerdekaan mesti dipertahankan dengan segala jiwa raga.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×