418 notis dikeluarkan dalam Ops Pengarah JPJ Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

418 notis dikeluarkan dalam Ops Pengarah JPJ Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak 418 notis dikeluarkan dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Siri 3/2019 yang dijalankan di Plaza Tol Sentul Pasar menghala ke ibu negara malam semalam.

Sebanyak lapan kenderaan termasuk sebuah motosikal disita atas pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Zawawi berkata, operasi tersebut disertai seramai 42 anggota dan pegawainya yang bermula pada pukul 8 malam hingga pukul 12 malam itu.

“Pihak kami juga telah mengeluarkan 196 notis terhadap kesalahan tidak memperbaharui cukai jalan dengan ada di antaranya sudah tidak diperbaharui sejak dua tahun lalu.

“Selain itu, kita turut berikan 112 notis terhadap mereka yang melakukan kesalahan melibatkan lesen antaranya lesen tamat tempoh dan tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (sembilan), motosikal tiada cermin sisi (dua) dan 16 notis kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi malam tadi.

Ismail menambah, sebanyak 83 notis dikeluarkan untuk kesalahan cermin gelap kenderaan yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

“Kesalahan berkenaan cermin gelap itu berlaku atas dua kemungkinan, iaitu disengajakan kerana banyak pemberitahuan berkaitan cermin gelap kita telah buat di media cetak dan elektronik sebelum kita kuatkuasakan peraturan pada 8 Mei lalu.

“Tetapi ada juga pemandu yang mendakwa bahawa mereka tidak mengetahui mengenai peraturan baharu itu. Oleh sebab itu, sekiranya ada pihak berkeperluan menggunakan cermin gelap, mereka perlu membuat permohonan dengan bayaran RM50 dan sekiranya diluluskan, mereka perlu membayar fi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penggunaan cermin gelap untuk cermin hadapan dan sisi pemandu serta sisi penumpang hadapan dibenarkan atas sebab kesihatan dan keselamatan.

“Kita kenakan tindakan terhadap kesalahan cermin gelap mengikut Kaedah 5(1) bagi cermin hadapan dan Kaedah 5(3) untuk cermin sisi, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaaan 2000.

“Mereka yang didapati bersalah akan dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan denda tidak lebih RM2,000,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×