MUKADIMAH
RAKYAT di seluruh negara, peminat sukan khususnya pasukan bola sepak Selangor diminta bangkit menyuarakan pendirian kepada kerajaan negeri supaya tidak meruntuhkan bangunan keramat yang pernah menjadi home of Red Giants.
Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menjadi Menteri Besar ketika Stadium Shah Alam dibina pada 1990, dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar AFIQ RAZALI memberitahu sebarang pembinaan perumahan dan komersial di Seksyen 13 perlu dihentikan.
Beliau dikenali sebagai Mat Taib menegaskan di Seksyen 13 dari sebahagian Batu Tiga hingga ke Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah merupakan kawasan ‘lembah sukan’ yang sepatutnya dibina dengan pelbagai kemudahan untuk aktiviti sukan. Malah, perumahan dan komersial sedia ada di kawasan tersebut juga didakwa tersasar daripada matlamat asal Seksyen 13 itu sejak 1970-an.
Selain itu, turut disentuh bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah isu politik dan Muafakat Nasional (MN) di Selangor.
MINGGUAN Malaysia: Kenapa Stadium Shah Alam kena kekal berdiri dan tak boleh ada pembangunan besar-besaran di Seksyen 13?
MAT TAIB: Memanglah boleh mendatangkan duit, tetapi rakyat Selangor macam mana? Saya hendak tuju kepada orang di Shah Alam, ini menjatuhkan imej, kalau orang di luar negara macam dekat Hyde Park di London, tak kacau langsung. Boleh meletup England, berdemonstrasi sampai beratus ribu orang, tetapi sini bila buat macam itu, tengok macam diam sahaja. Jangan begitu, bila sudah berlaku kerosakan baru hendak undi, jangan. Saya harap rakyat Selangor dan Shah Alam akan bersuara.
Saya boleh bersuara, tak takut dengan siapa pun. Ini untuk sukan buat macam mana pun mesti jaga sukan. Jangan ada kompleks perniagaan pula, untuk hendak justify cashflow kena ada projek komersial untuk justify boleh buat viable ke tak, kena runtuhkan (stadium). Ini jahat, ini rancangan jahat.
Langsung tak boleh ada pembinaan lain?
Itu adalah satu langkah yang tidak baik. Saya rasa ada rancangan hendak buat kompleks perniagaan, kemudian kecilkan stadium. Banyak mana lagi pusat komersial, kita sudah buat banyak, Aeon Mall pun besar, cukuplah.
Penutupan Litar Batu Tiga, membina rumah di atasnya pun satu kesilapan dibuat, membina perumahan di kawasan Batu Tiga, tempat sukan.
Itu tempat sukan, sepatutnya dibina dengan kemudahan sukan, untuk hoki, pingpong, taekwondo atau silat. Kompleks-kompleks sedemikian yang sepatutnya dibina, bukan perniagaan.
Setia Alam sudah ada kompleks perniagaan, Shah Alam pun ada i-City, besar tempatnya. Jangan fikir duit sahaja, ada pihak yang akan keluar modal dan dapat keuntungan, kita kena fikir manusia.
STADIUM KEBANGGAAN
RAKYAT SELANGOR
Ada apa dekat Seksyen 13, Tan Sri?
Rakyat akan marah kalau tengok banyak sangat rumah. Tak cukup lagi ke rumah sekarang ini? Habis semua, tempat berlumba (Litar Batu Tiga), zaman bekas Menteri Besar, Dr. Mohd. Khir Toyo dulu dijadikan rumah.
Saya kecewa betul dirobohkan, sekarang anak-anak muda tak ada tempat berlumba, mereka merempitlah atas jalan sampai Kuala Lumpur, pukul 3 pagi. Keliling litar pun ada jogging track, ada kedai mamak boleh minum. Dirobohkan semua sekali jadi rumah, D’Kayangan, Worldwide, Aeon Mall semua hendak ada dekat situ.
Kenapa Stadium begitu menjadi kebanggaan orang Selangor?
Stadium, bukan untuk orang Melayu sahaja…if you are clever enough. Dahulu kita ada World Grand Prix dekat Litar Batu Tiga, kemudian kerajaan negeri selepas saya runtuhkan dan dijadikan kawasan perumahan.
Itu kawasan untuk orang main sukan permotoran, taraf dunia. Salah satu daripada tempat untuk mengadakan World Grand Prix adalah di Shah Alam, PKNS yang ke hadapan. Yang lain ada di Eropah, Tokyo di serata dunia dan di Malaysia adalah di Shah Alam. Jadi, itu tempat sukan semua kaum bukan Melayu sahaja, walaupun di Shah Alam. Stadium itu pun untuk semua sukanlah. Jadi, bukanlah untuk bola sepak sahaja. Yang pentingnya koordinasi pemain mesti bagus, penyokong suka, menjadi satu tarikan besar untuk negara.
STADIUM STANDARD KAMPUNG
Bagaimana stadium ini dikaitkan dengan penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan?
Ketika saya menjadi Menteri Besar pada 1986, sudah pun dianugerahkan kepada Menteri Besar sebelum saya sama ada Allahyarham Datuk Seri Hormat Rafei atau Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali, sebab pada 1974 Kerajaan Persekutuan ambil Kuala Lumpur, itu dulu ibu negeri Selangor.
Federal kata Selangor buat satu ibu negeri baharu iaitu di Shah Alam, jadi Kuala Lumpur diambil. So we lost big chunk of income, cukai tanah, cukai pintu di Kuala Lumpur ada banyak. Hilang semua itu, kena bangunkan Shah Alam. Jadi, Kerajaan Persekutuan kata, ini dari zaman Datuk Seri Harun Idris lagi,tak apa Federal akan taja buat stadium, masjid negeri, Dewan Undangan Negeri dan semualah termasuk perpustakaan. Apa yang hilang di Kuala Lumpur diwujudkan di Shah Alam.
Jadi, Shah Alam zaman Harun, Hormat, Ahmad Razali, semua buatlah perkara yang asas dahulu, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dahulu adalah Pejabat Menteri Besar, zaman Hormat dibangunkan Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kemudian pindah. Selepas itu buat stadium, masjid negeri. Jadi, simultaneously dibuat (bangunan lain-lain), saya tak tahulah sekarang ini punca pendapatan (stadium) berkurang, mungkin penyokong pun sudah tak ada, orang tengok bola pun tak tahu tinggal berapa ribu sahaja.
Jadi, tak wajar bina stadium baharu lebih kecil?
Mengapa hendak dikecilkan, stadium, besar mana stadium yang kecil. Tengoklah Johor macam mana, kita ucap tahniah kepada Tengku Mahkota Johor yang berjaya buat stadium cantik. Bukannya dikecilkan. Hendak besar mana? Besar reban ayam? Hendak bela ayam lepas itu?
Saya malulah tengok, dahulu bukan main hebat, sekarang kenapa jadi macam standard kampung sahaja? Rakyat di Selangor khususnya di Shah Alam tahu dan menyambut baik rancangan kita untuk buat tempat sukan seperti litar lumba, sampai stadium, kemudian dengan ada LRT.
Jadi, pemimpin sekarang ini kena baca balik sejarah, tanyalah orang lama. Kenapa tak bertanya dengan saya? Kenapa hendak pandai-pandai tukar sana, tukar sini jangan fikir awak orang muda boleh buat sesuka hati. Kena tanya yang orang dahulu buat dan sultan sebelum ini berhajat.
“Beta serahkan Kuala Lumpur dan ini dibalas oleh Federal, so we are very happy”. Sanggup baginda serahkan Kuala Lumpur, kalau tidak Sultan Selangor memang tak mahu serahnya.
KEGEMILANGAN RED GIANTS
Stadium memang berkait rapat dengan kegemilangan Red Giants?
Kita dahulu juara. Kita punya kelab penyokong yang terbesar di negara, Yunus nama presidennya, sangat bagus. Pergi lawan Johor, 20 bas sekali jalan. Kemudian di Selangor, pembangunan belia dahulu sangat teratur, saya presiden (FAS) ketika itu, saya tahulah.
Jadi, sudah jatuh ke bawah, nampak macam jauh kita ke belakang. Johor pula ke hadapan. Apa yang kita lihat di Johor hari ini, itulah Selangor dahulu.
Selangor is a major state, buka sejarah Piala Malaysia, berapa kali negeri ini johan. Johor pun baru lagi, dahulu dia tak ada apa-apa, sekarang…tetapi kerana pimpinan kerajaan dan perancangan yang baik, Johor jadi pusat sukan pula.
Kenapa Selangor? Apa jadi dengan Selangor? Stadium pula hendak diruntuh? Orang kata, bila bangun jadi terduduk, kalau terduduk jadi terbaring pula.
Baik pulih dan promosikan Stadium Shah Alam?
Kena multipurpose, kalau kita buat sukan sahaja macam dewan, contohnya dewan di Shah Alam ini banyak, ada orang kahwin, seminar, aktiviti keluarga, kena jadi bijak untuk pasarkan produk.
Kita kena fikir 100 hingga 200 tahun, jangan hendak bina kompleks sukan, komersial, lepas itu cari duit. Tempat komersial sudah banyak. Saya fikir silaplah kalau hendak dikecilkan stadium dan buat perniagaan pula di kawasannya, ini salah. Rakyat pasti tak puas hati.
POLITIK
Tan Sri, selain kerajaan negeri, Selangor tidak terlepas dengan isu politik. Parti pembangkang, UMNO Barisan Nasional (BN) dilihat masih dalam dilema untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa peluang mereka di Selangor?
Saya lihat satu sahaja, gasing kalau ligat yang lain itu tak sempat hendak pecahkan. Tetapi kalau gasing tidur, mulalah gasing yang lebih ligat akan menggasak, nanti mulalah orang ini kacau, kakak bergaduh dengan adik, adik mengadu dekat emak. Gasing kena ligat, jadi orang akan sertai kita.
Kemudian agenda kita akan berjalan, ini tidak diputarkan gasing, jadi abang usik adik, adik usik kakak, kakak usik emak. Lama-lama bercakaran. You mesti pastikan gasing you ligat. Gasing kita sekarang tak ligat.
Untuk PRU-15, kalau semua gasing UMNO tergolek, takkan ada apa yang jadilah.
UMNO SELANGOR PUN BERCAKARAN
UMNO di Selangor pun nampak bercakaran, ada yang tidak setuju dengan kemunculan semula Khir Toyo, kedatangan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Selangor dan pemecatan Isham Jalil daripada Ketua Penerangan BN negeri.
Saya ingat, masing-masing kena membuat kerja yang terbaik, jangan peduli orang lain, aniaya orang, rosakkan orang. Kita buat kerja, punctual, kemudian you likable, achievable, prestentable, ini kalau kerja pukul 8 datang pukul 9, bos mula pandang senget dekat you.
Kerja patut hari ini siap tetapi esok petang pun masih hendak draf lagi. Lepas itu persembahan tak berapa mantap. Kalau jadi pemimpin mesti likable, achievable, winnable. You must do your work. Kalau berkebun, kebunnya cantik, tanaman elok, pukul 5 pagi sudah turun.
Jadi, bergaduh tak usah ada. Berhenti buat kerja. Ini pasal apa yang suruh bercakar? UMNO bukan begitu dahulu, UMNO tak pernah bercakar, buat kerja dahulu dari merdeka sampai membangunkan Malaysia hampir semua dibuat oleh BN. Bila sibuk bercakar, tak buat kerja. Kerja tak buat, sibuk mengata orang. Calon bertanding atau tidak ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, kenalah ada ciri Wali iaitu winnable, achievable dan likable.
Kalau pimpinan bahagian dan akar umbi tak setuju, macam mana Tan Sri?
Kalau ada orang hendak buat comeback, terpulanglah kepada dia dan pucuk pimpinan. Kalau pucuk pimpinan rasa dia boleh. Kita memang dari dulu diputuskan oleh pucuk pimpinan. Siapa yang diputuskan kita ikut, kita kena ada imam, kita pula jadi makmum yang baik.
Apa yang diputuskan imam, kita ikutlah, janganlah meronta-ronta tak tentu arah. Barulah yang di atas boleh pegang ‘stereng’ betul-betul, kalau tidak, orang ini mendesak, itu bergaduh, sana merajuk, ini tak baiklah kepada pucuk pimpinan, tak seimbang.
Kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun baik, pilihan raya-pilihan raya kecil dan negeri kita menang. Bersama Pas kita menang, tak bersama Pas pun kita menang, jadi saya nampak kepimpinannya mantap. Melaka, Johor menang, apa pun kata orang kita tetap menang.
Walaupun ada kes mahkamah dan pernah didapati bersalah?
Ada masalah itu dia kena selesaikanlah. Soal apa masalahnya, itu hal dia. Tetapi saya pandang dari sudut kepimpinan, beliau boleh memimpin dengan baik, ahli parti pun bersatu dan suka dengan keputusan-keputusan dibuat. Kalau begitu, maknanya he is a good leader. Pemimpin yang boleh membawa hala tuju dan kejayaan.
Ada juga orang yang pernah masuk penjara tetapi jadi pemimpin sekarang.
Macam mana UMNO akan bekerjasama pada pasca PRU-15?
Politik sentiasa berubah, bertukar-tukar, 60 tahun nampak UMNO lebih selesa kukuh, tetapi zaman ini zaman bergolak sekejap, pilihan raya mungkin UMNO BN boleh menang besar. Kalau sekarang boleh berkocak, mungkin esok UMNO bersama parti Melayu yang agak kuat, tak kisahlah mana-mana, ketika itu boleh tubuhkan kerajaan yang kuat. Tak macam sekarang, orang ini keluar jatuh, orang lain keluar jatuh lagi, itu tak baik. Jadi kita hendak UMNO, BN menang banyak, kalau terpaksa kerjasama pun, untuk tubuhkan kerjaaan kuat, kita sangat fleksibel, tidak ada undang-undang yang kekal. Dalam politik there is no permanent friend, permanent enemies, yang ada cuma permanent interest. Jadi kalau perlu bekerjasama, mungkin pada masa itu sesuai, Jokowi dengan Prabowo boleh bekerjasama? Apa yang kita hendak bising sangat? Indonesia sudah buktikan, adakah kita rasa kita lagi pandai? Terpulang kepada pengundi Selangor, patutnya buka mata, tengok yang sebaik-baiknya. Kita setia kepada sultan dan bersatu. Orang Melayu kena kuat bersatu di Selangor. Selangor mesti menjadi contoh.
Walaupun dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Saya jawab itu awak janganlah cuba memancing. Saya kata dari segi prinsip.
ADA BANYAK BUNGA DI TAMAN
Adakah patut UMNO dengan Pas di Selangor patut bergabung?
Saya pegang satu sahaja, Pas ini sudah mengikat kepada siapa? You are with Muafakat Nasional, tetapi you bersama Perikatan Nasional, you are in the committee, kemudian dalam masa sama hendak di sini juga.
Nampak macam, I sudah kahwin dengan you, you are my wife, lepas itu mahu hubungan dengan the other man, boleh ke? You have to be very firm, you hendak dengan siapa? Hendak dengan Bersatu kan, you sudah sign, duduk wujudkan partinya.
Macam mana pula you hendak MN? Bagi saya MN is ‘either or’, kalau hendak di sini you kena keluar dari sana. Kalau hendak sana, you tak boleh dekat sini, it is a simple logic. Dari segi praktikal betullah bila kita bekerjasama boleh capai kemenangan, tetapi prinsipnya macam mana?
You must have principle in life, esok kalau you di sini sana sini, negeri-negeri lain kata lain pula, jadi ini tidak hormat kepada kepimpinan dalam BN dan UMNO. Samalah macam anak buah tempat kita pun tak hormat pada kita.
Kita kena hormat keputusan di atas, kita ada collective responsibility.. Sudah putus dekat situ (MN), semua peringkat kena ikut. Tetapi hakikatnya tak jadi macam itu, orang sudah tak mahu dengan awak, dia pergi ke sana. That girl has chosen that man to be her husband. Yang gila angau lagi kenapa?
Jadi tinggalkan ke, Tan Sri?
Tinggalkan. Ada banyak lagi bunga-bunga di taman, buat kerja elok-elok. Sesama kita, jangan bercakaran.










