GEORGETOWN: Jumlah pinjaman maksimum untuk kontraktor G1 akan dinaikkan kepada RM200,000 dari RM100,000 menerusi Skim Kontrak-I kendalian Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kenaikan kadar pinjaman itu untuk membantu kontraktor G1 yang berdepan masalah kenaikan harga barangan termasuk simen.
”Harga barangan semakin naik sekarang ini termasuk bahan-bahan binaan, pinjaman menerusi skim ini sebanyak RM100,000 tidak cukup buat masa sekarang.
”Kontraktor G1 kontrak yang mereka dapat ialah RM200,000, jadi kita rasa jumlah pinjaman perlu dinaikkan untuk bantu mereka.
”Pada dasarnya kenaikan pinjaman kepada RM200,000 sudah lulus cuma kita ingin dapatkan kebenaran daripada Menteri Kewangan sekarang ini,” katanya selepas merasmikan penutup seminar pembangunan kapasiti kontraktor dan aplikasi pengecatan dan lapisan senibina di sini, semalam.
Menurut Noh, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, TEKUN Nasional telah memberikan pinjaman menerusi Skim Kontrak-I kepada 100,657 kontraktor G1 berjumlah RM111 juta.
”Pembayaran balik para kontraktor G1 juga agak positif, dan kita yakin kenaikan kadar pinjaman sehingga RM200,000 dapat membantu para kontrakor G1 berdepan kenaikan kos bahan binaan,” katanya.
Tambahnya, ketika ini terdapat 45,000 kontraktor G1 yang kebanyakkan mengharapkan projek kerajaan membabitkan bidang bekalan, pembinaan dan lain-lain.
”Kita berharap mereka (kontraktor G1) akan terus berdaya saing supaya dapat bersaing pada masa depan untuk mendapatkan projek daripada pihak swasta.
“Jumlah pinjaman yang banyak daripada TEKUN Nasional itu menunjukan bidang pembinaan sedang berjalan dengan baik dan kita harap dalam fasa menuju ke endemik ini lebih banyak proje terus berkembang,” katanya. – UTUSAN










