MELAKA: Sampai bila nasib 50 pesawah membabitkan kawasan seluas 80.93 hektar di Paya Luboh dekat sini akan terus berdepan dengan masalah tanaman padi ditenggelami bah setiap kali berlaku hujan lebat?
Itu persoalan yang dilontarkan mereka kepada kerajaan negeri, memandangkan sepanjang Jun sahaja sawah padi diusahakan sudah tiga kali ditenggelami banjir dan paling memeritkan, mereka menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 setiap kali banjir dan ia sudah berlarutan hampir 10 tahun.
Seorang pesawah, Ab. Rahman Tambi Adam, 58, berkata, satu jalan penyelesaian perlu dilaksanakan agensi berkaitan termasuk pembinaan jambatan kekal yang baharu bagi menggantikan jambatan culvert sedia ada berhampiran sawah berkenaan.
“Jambatan culvert yang ada terlalu sempit hingga menyebabkan limpahan air dari Sungai Udang tidak dapat mengalir keluar dengan baik hingga memasuki seluruh kawasan sawah.
“Ditambah dengan sampah sarap bertimbun menutup aliran air sungai menyebabkan air bertakung hingga melimpah memasuki sawah, hingga merosakkan anak padi baru ditanam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Ab. Rahman, pesawah telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan jambatan baharu itu sejak lebih 10 tahun lalu, namun sehingga kini tidak ada khabar berita mengenainya.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Sabri Yusof, 55, turut berpendapat pembinaan jambatan baharu merupakan penyelesaian tepat untuk menamatkan masalah limpahan air sungai.
Katanya, ia bukan sahaja menjejaskan dan merencatkan anak padi tetapi paling teruk apabila jalan ladang turut runtuh, lantas menimbulkan masalah untuk kenderaan membawa hasil keluar.
“Saya sudah usahakan tanaman sawah hampir 10 tahun di kawasan seluas 7.28 hektar setiap, kali air melimpah menenggelamkan sawah, saya rugi hampir RM18,000,” katanya. – UTUSAN










