Astro catat PATAMI ternormal RM119 juta untuk S1 TK2023

Astro catat PATAMI ternormal RM119 juta untuk S1 TK2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal sebanyak RM119 juta untuk suku tahun pertama bagi tahun kewangan berakhir 2023 (S1 TK2023), penyusutan sebanyak sembilan peratus suku tahun ke suku tahun.

Syarikat turut merekodkan hasil yang lebih rendah, susut tujuh peratus suku tahun ke suku tahun kepada RM962 juta. Bagaimanapun pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat tiga peratus kepada RM315 juta.

Pengerusi Astro, Tun ZZaki Azmi berkata, pemulihan yang dijangkakan dalam sentimen pengguna dan perbelanjaan hasil daripada pembukaan semula sepenuhnya aktiviti-aktiviti ekonomi telah diperlahankan oleh kenaikan inflasi dan gangguan rantaian bekalan global yang disebabkan oleh peristiwa geopolitik yang semakin memuncak dan sekatan Covid-19.

“PATAMI suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 Astro terkesan dengan turun naik tukaran mata wang (forex). Tidak termasuk kerugian forex terealisasi, PATAMI ternormal untuk suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023 adalah
RM119 juta.

“Syarikat kekal menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat. Pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim pertama 1.25 sen sesaham,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata, walaupun menghadapi dugaan, syarikat kekal tabah dalam melaksanakan pelan transformasi dan strategi pengagregatan penstriman.

Jelasnya, perolehan purata setiap pengguna (ARPU) bertambah baik kepada RM97.40, dengan migrasi para pelanggan ke pakej-pakej baharu dengan lebih nilai yang dilancarkan pada November lalu.

“Pada Mac yang lalu, kami telah melancarkan Astro Fibre, perkhidmatan internet kepunyaan kami agar para pelanggan boleh memilih menggandingkan kandungan dengan jalur lebar ataupun jalur lebar sendiri. Pada Jun, kami telah menjadi yang pertama di Asia Tenggara merintis pengiklanan bersasar untuk televisyen, Video On Demand dan digital.

“Selain daripada Netflix, kami telah integrasikan aplikasi Disney+ Hotstar pada Ultra Box, mengukuhkan lagi Astro sebagai destinasi penstriman utama untuk rakyat Malaysia.

“Pada masa ini, kami mempunyai 6 perkhidmatan penstriman yakni Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, Astro GO, TVBAnywhere+ dan iQIYI, dengan banyak lagi yang akan datang termasuk Zee5, BeIN dan BBC Player,” katanya.

Kata beliau, lebih 600,000 rumah kini menggunakan Ultra dan Ulti Box yang berfungsi dengan satelit dan jalur lebar.

Tambahnya, Astro GO mempunyai 867,000 pengguna aktif setiap bulan dengan purata tontonan lebih tiga jam mingguan.

“Penstriman program On Demand naik 48 peratus dari tahun ke tahun ke 148 juta. Dalam suku pertama untuk tahun kewangan berakhir 2023, pangkalan jalur lebar kami tumbuh 50 peratus dari tahun ke tahun dengan ramai pelanggan menggandingkan jalur lebar dengan kandungan untuk kesenangan dan nilai,” katanya.

Tan berkata, syarikat komited untuk memperkasakan lagi pengalaman baharu Astro sebagai Destinasi Hiburan Utama rakyat Malaysia.

“Syarikat akan terus melabur dalam pelan-pelan transformasi terutamanya kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data, pengiklanan bersasar dan infrastruktur teknologi untuk memudahkan proses kami serta yang paling penting, memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan kami,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×