KETEGANGAN konflik Washington-Beijing akan menjadi wacana pencetus pentas geopolitik global untuk abad akan datang, mewarnai spektrum persaingan sengit pelbagai penjuru.
Rangkaian strategi dan percaturan polisi dalam usaha untuk mengekang dasar agresif dan perluasan kuasa Beijing di Indo-Pasifik menjadi nadi utama dalam rencana Washington yang kian terhimpit dengan desakan bersasar, terancang dan menyeluruh China di bawah visi dan sasaran Presiden Xi Jinping. Misi pembaharuan dan pembangunan legasi dan kebanggaan China sebagai negara moden, unggul dan dominan dalam Wawasan 2049 bertumpukan aspirasi Chinese Dream dan Great Rejuvenation of China.
Washington yang sebelum ini bersandarkan kepada strategi untuk membentuk dan menyokong Beijing ke arah perubahan dan transisi kepada dukungan demokrasi dan nilai kebebasan universal, kini menyedari hakikat pahit bahawa dasar ini bukan sahaja memakan diri bahkan terpaksa merombak percaturan baharu dalam menghadapi transformasi mendadak China yang memberikan tentangan dan ancaman tertinggi kepada Washington sejak runtuhnya Kesatuan Soviet.
Presiden Joe Biden yang cuba membentuk ikatan baik dengan Jinping semasa menjadi Naib Presiden di bawah Barack Obama dan ketika Jinping bersiap sedia untuk memegang tampuk kepimpinan China akan kekal untuk meneruskan agenda agresif kesiapsiagaan holistik untuk mengekang kebangkitan China yang dilipatgandakan oleh pentadbiran Donald Trump.
Beijing dilihat telah, sedang dan akan terus memberikan ancaman terbesar kepada sistem yang dibina dan dipelihara untuk menggantikan Washington sebagai kuasa dominan global menjelang 2049. Impak positif daripada keupayaan dan tanggungjawab Amerika Syarikat (AS) dalam memberikan jaminan keselamatan laluan perdagangan dunia melalui kuasa dominan di lautan serta mengekalkan norma antarabangsa yang membolehkan aktiviti ekonomi dan pembangunan dijalankan digunakan sepenuhnya oleh Beijing sejak lebih empat dekad lalu dalam usaha transformasi ekonomi yang direncana.
Transformasi mendadak yang disaksikan dalam pembangunan dan pemodenan China dalam bidang ketenteraan, penguasaan teknologi futuristik dan ekonomi dunia, keterampilan inovasi dan penyelidikan serta sektor kritikal lain dilihat memberikan kejutan besar kepada negara lain dan sistem global sedia ada.
SEJARAH PAHIT
Namun, Washington tetap yakin dalam kebolehan dan kelebihan sedia ada dan akan datang dalam mendepani cabaran dan ancaman tersebut. Walaupun China telah menggariskan tujuan dan aspirasi rasmi dalam membangkitkan legasi kebanggaan tamadun dan sumbangan kepada kemanusiaan dan pembangunan global melalui kebangkitan kuasa dan status, Barat dan negara lain yang berada di bawah tempias langsung ini tetap terus mengorak langkah untuk menangkis potensi ancaman dan impak negatif. Ini disalurkan melalui corak dan rentak berbeza dalam menyeimbangi dampak dasar luar yang cuba direncana bagi memastikan hubungan bilateral dan multilateral dengan Beijing akan kekal terpupuk.
Sejarah pahit kebanggaan ketamadunan China yang dimusnahkan di tangan British, diikuti oleh Jepun sejak abad lalu yang direncana sebagai century of humiliation menjadi antara bekalan dan faktor penggerak kepada usaha Beijing dalam menjayakan Wawasan 2049, selain isu Taiwan yang dilihat sebagai garis merah dengan tiada tolak ansur dalam ikatannya dengan Washington. Usaha untuk keluar daripada himpitan dan kepompong penghinaan ini menjadi percikan semangat dan pencetus kepada lonjakan hasrat China bagi menebus segala kelemahan dan keaiban lampau.
AS juga akan memacu keselarian objektif, sokongan dan mobiliti sumber bersama jaringan, rangkaian dan pakatan bersama sekutu dan seterusnya membolehkan pemerkasaan kapasiti untuk terus bersaing dengan Beijing dalam mempertahankan sistem dan nilai yang telah dibina hampir seabad. Ini akan menjadi pencetus kepada keyakinan AS untuk terus menggembleng kekuatan dalaman dan prospek pemerkasaan kuasa masa depan yang cerah sekiranya terus menyasarkan jenis dan tahap hala tuju pembangunan dan transformasi dalaman yang tepat dan strategik dalam menyusun langkah dan usaha untuk bersaing dengan China dan mengekalkan dominasi global pada masa sama.
Walaupun kedua-dua pihak menyedari kebergantungan kepentingan dalam hampir semua penjuru dan indikator utama termasuk sektor ekonomi dan perdagangan serta kerjasama kritikal yang diperlukan dalam menangani cabaran global terutama impak perubahan iklim, kepentingan pemeliharaan kuasa dan pengaruh serta jaminan pertahanan sistem global dan kepentingan nasiona kekal menjadi pertaruhan dominan. Washington terus yakin dengan kelebihan sedia ada yang telah terbukti dan diuji selama puluhan tahun dan sedar bahawa persaingan dan potensi konflik masa depan dengan Beijing tidak akan diharungi secara bersendirian.
Berbekalkan jalinan kukuh pulangan sistem global yang dibina serta bersandarkan pakatan sekutu yang kompeten serta berkapasiti tinggi, Uncle Sam terus menyasarkan kejayaan jangka panjang dengan potensi dan kelebihan meluas yang masih terbuka untuk diterokai dan dimanfaatkan dalam persaingan dengan China.
AS akan terus membina benteng dan nafas baharu dalam mengekalkan statusnya dan memastikan China kekal berada di bawah alunan sistem global sedia ada, sekali gus merencatkan sebarang usaha Beijing untuk mengambil alih posisinya sebagai kuasa dominan tunggal dunia. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.










