Kerajaan yang bina rumah atau beri kami subsidi – Rehda

Kerajaan yang bina rumah atau beri kami subsidi – Rehda

Kerajaan yakin sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik pada RMK12 mampu dicapai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab membina rumah mampu milik atau memberikan lebih banyak subsidi supaya harga rumah dapat ditawarkan dengan lebih berpatutan kepada pembeli terutama dalam kalangan yang kurang berkemampuan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pemangku Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk N. K. Tong menyifatkan subsidi itu amat diperlukan ke­rana kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan ekoran inflasi yang menyebabkan pe­ningkatan kos bina rumah.

Katanya, walaupun pelbagai pihak seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu harga rumah berada pada kadar yang mampu dimiliki rak­yat, bukan semua pihak mempunyai pandangan yang sama.

“Cara terbaik untuk menanganinya ialah dengan pihak kerajaan menggunakan cukai yang dikutip untuk membina atau mensubsidi pembinaan rumah tanpa bergantung kepada pemaju swasta,” katanya ketika dihubungi.

SUBSIDI SILANG

Pada masa ini, katanya, pemaju terpaksa mengambil langkah subsidi bersilang atau cross-subsidy untuk membiayai pembinaan rumah yang dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada kos pembinaannya.

“Dengan kaedah subsidi bersilang, harga yang lebih tinggi terpaksa diletakkan di atas harga rumah pasaran bebas untuk menampung kos tersebut dan ini menyebabkan mereka dalam kalangan M40 dan T20 terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk rumah mereka,” katanya.

Tambahan lagi, katanya, pemaju bukan sahaja terkesan dengan kos yang meningkat tetapi juga kekurangan pembeli akibat harga rumah yang makin tinggi.

“Ini akan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mengurangkan output mereka, dan dengan itu, bekalan rumah akan turut berkurangan. Ini adalah bertentangan dengan agenda perumahan kerajaan,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, purata harga bagi sebuah rumah pada masa ini mencecah RM433,430 bagi suku pertama tahun 2022, berbanding RM204,470 pada 2009.

Purata harga yang tinggi itu secara tidak langsung menyebabkan sebanyak 59,642 unit rumah bernilai kira-kira RM42.9 bilion di seluruh negara yang sudah pun siap dibina masih lagi tidak terjual dalam suku pertama 2022.

Tong turut meminta kerajaan Pusat dan negeri supaya mempercepatkan proses kelulusan bagi mengelakkan projek-projek perumahan terdedah kepada kadar inflasi yang kian meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×