KESAKITAN dan kelesuan politik bukan baharu berlaku sekarang. Akhbar di Amerika Syarikat pernah melaporkan kejadian di negara itu pada 1877 apabila ia digambarkan sebagai kemarahan serta rasa sakit hati rakyat dan mereka berasa tidak selamat dengan politik. Mereka rasa putus asa apabila bercakap mengenai keberkesanan tekad dan tindakan politik. Mereka sakit kepala dan jelak dengan politik.
Senario itu dilaporkan wartawan Atlanta Constitution bahawa tidak ramai berminat dalam pilihan raya kongres di New Hampshire: “Rakyat sudah bosan dengan politik.”
Kemudian muncul kenyataan ini, “Jangan bercakap dengan saya tentang politik. Ini memeningkan kepala,” kata Presiden Wilayah New York City, George Upton Harvey, kepada akhbar Hartford Courant pada 1941.
Presiden Barack Obama pula pernah membuat pemerhatian bahawa ‘orang ramai sudah bosan dengan politik’ ketika berucap di Iowa pada 2011.
Kini, rakyat Malaysia mengalami sindrom serupa. Tetapi siapa dalam kalangan kita yang mengalami penyakit itu? Siapa yang akan melakukan diagnosis untuk mengenal pasti perinciannya? Siapa yang akan dan mampu melakukan terapi pemulihan? Berapa lama tempoh pemulihan dan apa kosnya? Bagaimana keseluruhan proses ini boleh dilakukan dan disempurnakan sepenuhnya? Dan, siapa boleh beri jaminan rakyat akan menerima semula politik, mempercayai pemimpin dan menyertai proses demokrasi yang terkandung serta diamalkan di Malaysia?
Semua persoalan ini perlu dijawab, dilerai dan disantuni dengan jujur, pantas serta bijaksana. Melayu, berdamailah dengan masa lalu. Namun ia menuntut semua pihak mesti menghancurkan keegoan dengan perdamaian.
Realiti apabila seseorang tertekan, dia akan mencari jalan keluar. Begitu juga rakyat yang sakit dan kelesuan politik, mula cuba keluar dari lingkungan dunia politik yang toksik. Mereka tidak endah lagi pemimpin dan politik. Yang pasif akan berdiam diri tetapi bertekad ‘mengajar’ pemimpin tersebut pada pilihan raya kelak. Kelompok lain mencari alternatif pihak yang diharap mahu mendengar luahan dan rintihan suara hati serta membela nasib mereka.
Namun, siapa mampu menawarkan alternatif ketika mana ada rakyat nekad melabelkan ‘orang politik semuanya sama?’ Beberapa parti politik baharu pun tidak mendapat sambutan walau menawarkan slogan yang bagus. Malah ramai calon parti hilang wang deposit dalam pilihan raya negeri sebagai manifestasi pengundi tidak mahu mereka.
Kelesuan dan sakit politik turut berpunca daripada sikap ekstrem ahli atau penyokong parti. Ketaksuban dengan ideologi dan pemimpin menyebabkan mata hati mereka buta dan tidak nampak perdamaian. Dengan melabelkan pemimpin warlord, ini menyebabkan mereka sombong sekali gus enggan mencari titik persamaan dan meraikan perbezaan dengan ahli parti lain. Bagi kelompok ini, pemimpin mereka maksum, berkuasa dan jangan disentuh.
Harus diingat, bangsa Melayu sangat dominan dan berpengaruh. Parti yang mahu memerintah mesti mendapat sokongan Melayu. Kestabilan politik dan keamanan negara juga tertakluk kepada perpaduan, taraf sosioekonomi serta sikap bangsa itu. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga belajar mengenai realiti ini. BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), manakala PH yang menang kemudiannya kecundang pada 2020 selepas 20 bulan memerintah negara.
TENTERA SIBER
Antara punca yang boleh dikaitkan adalah Melayu menarik balik sokongan selepas mereka hilang kepercayaan kepada kedua-dua kerajaan itu.
Tika ini, blok eksekutif mengalami defisit integriti yang amat serius. Antara puncanya, ada pemimpin parti dibicarakan di mahkamah.
Tentera siber pula menggunakan media sosial untuk mengadu domba, memfitnah, berbohong serta bermain sandiwara dengan parti lawan selain menularkan ‘setimbun tabiat’ pemimpin politik. Rakyat membaca dan berkata kepada pemimpin – cukuplah!
Pemimpin tempat rakyat bergantung harap, ternyata ada yang lebih mementingkan diri dan kroni. Keputusan, tekad dan muafakat politik lebih menjurus serta menguntungkan pemimpin, demikian yang rakyat rasakan. Telusuri teks komen netizen dalam pelbagai media sosial. Mereka adalah sebahagian rakyat tidak berselindung lagi untuk troll pemimpin.
Lantaran itu, apakah salah rakyat jadi ragu dengan kejujuran sesetengah pemimpin yang sepatutnya menjadi pembela? Tindakan rakyat menjauhi politik dan enggan menyertai pilihan raya adalah satu amaran keras dan serius kepada pemimpin. Justeru, pemimpin perlu bermuhasabah diri, melakukan pembetulan secara jujur. Mereka perlu menyertai proses membina landskap baharu politik berlandaskan nilai murni, integriti, bebas rasuah dan penyelewengan serta mengutamakan dan mensejahterakan rakyat. Mungkin selepas itu pemimpin boleh berharap rakyat akan mempercayai mereka semula.
Justeru penyatuan bangsa, pemimpin dan parti Melayu sebelum PRU15 adalah kritikal. Usaha menunggu PRU16 untuk bersatu kerana ketika itu sudah terlewat dan kita lemah. Sekarang pun, masa boleh sahaja tidak mengizinkan penyatuan Melayu jika kita enggan ketepikan perbezaan dan tidak peduli nasib diri sendiri, apatah lagi melepaskan bumi cucu cicit bangsa sendiri berpijak selepas PRU15 nanti.
Jangan sampai ada pihak ketiga menangguk di air keruh dan menunggangi rakyat untuk mencapai rancangan jahat mereka. Musuh dalam selimut mahupun di luar hanya menunggu detik terbaik untuk campur tangan sedangkan kita tidak boleh menyerahkan kuasa politik dan nasib bangsa kepada orang lain. Jangan ulangi sejarah bangsa sekali lagi ditulis oleh bangsa lain. Elakkan jadi sejarah yang lemas dalam lopak ludah bangsa sendiri.
Namun, buat ketika ini kepada siapa lagi rakyat hendak berpegang dan berpayung?
Justeru, institusi raja-raja Melayu perlu diperkemas, diperkukuh dan diperkasa untuk rakyat bernaung dengan lebih selamat serta terhindar daripada ditunggangi pihak ketiga.- UTUSAN
PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.










