PETALING JAYA: Kebanyakan pegawai daerah dan petugas di seluruh negara telah dipanggil mengikuti taklimat perjalanan pilihan raya secara berperingkat-peringkat sekali gus membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat.
Setakat ini terdapat pegawai daerah dan penolong pegawai daerah menghadiri taklimat Pegawai Pengurus (RO) dan Penolong Pegawai Pengurus (ARO) pilihan raya anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara berperingkat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
Terbaharu, akaun Twitter Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda Kedah memuat naik gambar para pegawai menghadiri taklimat persediaan PRU15 yang diadakan pada 30 Mei lalu.
Menerusi maklumat diperoleh Utusan Malaysia, terdapat kakitangan kerajaan melibatkan pegawai daerah dan pembantu tadbir mengakui telah menghadiri taklimat perjalanan pilihan raya di kawasan masing-masing pada pertengahan Mei lalu.
Seorang penolong pegawai daerah dari Johor berkata, beliau menghadiri taklimat perjalanan dan pengurusan pilihan raya dua minggu lalu namun menyifatkan sebagai amalan biasa SPR untuk memberi penerangan terkini kepada pentadbiran daerah.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak taklimat itu kemungkinan berkaitan persediaan PRU15 memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru sahaja berlangsung Mac lalu.
“Taklimat ini menerangkan mengenai pengurusan pilihan raya, tiada tarikh tertentu pula dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi pembubaran Parlimen Ke-14 semakin bertiup kencang apabila ada dalam kalangan ahli Parlimen menerima emel bagi tujuan penamatan pembayaran faedah.
Emel tersebut yang diterima daripada Pejabat Parlimen Malaysia meminta supaya mereka mengemaskini maklumat Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (APAD) yang akan terlibat dengan pembubaran Parlimen salah satu tanda pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bagaimanapun berkata, penerimaan emel mengemas kini maklumat APAD tidak membawa maksud pembubaran Dewan Rakyat berlaku dalam masa terdekat, sebaliknya ia amalan biasa apabila usia penggal melepasi empat tahun.
Walaupun penggal Parlimen Ke-14 berakhir Jun tahun depan, pelbagai pihak mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan membubarkan Dewan Rakyat dengan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ekoran ketidakstabilan kerajaan sekarang.
Dalam pada itu, seorang kakitangan awam berkata, dia telah menghadiri taklimat kerani pengundian dan mengira undi di Kedah hujung bulan lalu anjuran SPR yang menerangkan kaedah perjumlahan undi kepada para petugas terlibat.
“Saya tidak tahu langsung sama ada ini untuk persediaan PRU15 walaupun banyak cakap-cakap dikatakan berlangsung pada masa terdekat,” katanya yang pertama kali menjadi kerani pengundian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom meminta perkara itu diajukan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bagi mendapatkan situasi sebenar taklimat pilihan raya yang dikatakan berlangsung di seluruh negara pada baru-baru ini.
“Cuba tanya pengerusi atau setiausaha, tanya mereka dahulu,” katanya. – UTUSAN










