TUN Tan Cheng Lock, seorang anak Melaka keturunan Hokkien. Dilahirkan pada 5 April 1883, Cheng Lock anak ketiga dalam keluarga Baba Nyonya yang mempunyai tujuh beradik. Cheng Lock mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Melaka, kemudian melanjutkan pelajaran ke Raffles College, Singapura.
Sekitar 1771 hingg 1775, moyangnya, Tan Hay Kwan sampai ke Melaka dari Zhangzhou, Fujian. Hay Kwan mengendalikan perniagaan di antara Makassar dan Melaka.
Walaupun begitu, semasa Cheng Lock dilahirkan, ayahnya, Tan Keong Ann tidak tidak dapat mewarisi kekayaan daripada nenek moyang.
Selepas tamat persekolahan, Cheng Lock berkhidmat sebagai guru selama enam tahun. Beliau kemudian meletakkan jawatan untuk menjadi Penolong Pengurus di Ladang Getah Bukit Kajang milik sepupunya.
Pada 1909, beliau mula melabur dalam perladangan getah. Beliau membuka United Malacca Rubber Estate Ltd. Kemudian berkongsi dengan ahli perniagaan lain menubuhkan Malacca Pinda Rubber Estates Ltd. dan Ayer Molek Rubber Company Ltd.
Selepas berjaya dalam perniagaan, Cheng Lock giat dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan.
Pada 1912, Cheng Lock dilantik oleh kerajaan British sebagai Pesuruhjaya Majlis Melaka serta Jaksa Pendamai (JP) Melaka. Beberapa bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Majlis Bandar untuk bandar-bandar dan Pelabuhan Melaka.
Pada 1913, beliau berkahwin dengan Yeo Yeok Neo, anak kepada Presiden Persatuan Hokkien Melaka, Yeo Tin Thye.
Ketika Jepun menduduki Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945, Cheng Lock berlindung di India. Di sana, beliau kerap menolong orang Cina yang ditindas oleh kuasa asing.
Beliau mulai sedar bahawa aktif dalam kegiatan kemasyarakatan mampu awam agar dapat membantu kaum sebangsanya secara berkesan.
Pada 4 September 1943, beliau menubuhkan Persatuan Cina Luar Negara di Mumbai. Selepas Jepun menyerah diri pada penghujung 1945, Cheng Lock kembali ke Tanah Melayu dan menceburi politik.
Pada 1 April 1946, cadangan pembentukan Malayan Union oleh British ditentang hebat orang-orang Melayu. British kemudian menggantikannya dengan konsep Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.
Pada waktu itu, Parti Komunis Malaya (PKM) memulakan pemberontakan bersenjata dan perkembangan itu memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat.
Di bawah pemerintahan darurat, ramai orang Cina ditahan oleh tentera British dan dihantar pulang. Untuk menyekat kemaraan PKM, ratusan ribu orang Cina di luar bandar dipaksa berpindah keluar dari pinggir hutan.
Cheng Lock segera mencadangkan penubuhan MCA. Seruan itu disahut masyarakat Cina di semua negeri di Malaya. Pada 27 Februari 1949, bersama-sama pemimpin-pemimpin Cina seperti Leong Yew Koh dan H.S. Lee, Cheng Lock mengasaskan MCA dan beliau dilantik sebagai presiden pertama.
LOTERI
Selepas penubuhan MCA, parti itu mengeluarkan tiket loteri kebajikan sebanyak 18 kali untuk mengumpul dana bagi membantu orang Cina yang ditempatkan semula di kampung baru di seluruh negara. Dana itu digunakan untuk membantu penduduk kampung baru membina rumah, menyediakan makanan, membeli ubat-ubatan serta mendapatkan beberapa kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Cheng Lock mengetuai MCA dari 1949 hingga 1958. Kerjasama MCA-UMNO bermula dengan pembentukan pakatan MCA-UMNO untuk menyertai pilihan raya majlis bandaran di pelbagai negeri di seluruh negara. Atas kegigihan dan pendirian tegas Cheng Lock berjuang bersama-sama UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Jutaan orang Cina kemudian berjaya memperoleh kewarganegaraan yang membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya serta menikmati segala hak dan faedah sebagai warganegara.
Kepada masyarakat Cina di Malaysia, Cheng Lock merupakan seorang pemimpin berjiwa kecinaan yang sukar dicari. Beliau tidak pernah gentar dan tidak mengalah apabila berhadapan pelbagai kesulitan dan cabaran. Beliau tidak pernah menerima pendidikan dalam bahasa Cina secara formal, namun tekun mengkaji kitab-kitab kesusasteraan klasik Cina menggunakan bahasa Inggeris. Beliau sanggup menghayati pemikiran dan budaya Cina dengan baik. Beliau berkebolehan berucap secara lancar dialek Hokkien dalam ceramah-ceramah awam.
Kini, ramai orang Cina masih mengenang Cheng Lock sebagai seorang tokoh pemimpin berhati mulia, berbudi pekerti dan budiman. Beliau sering memperlihatkan kesederhanaan dalam memperjuangkan kerjasama politik dan perpaduan antara kaum.
Masyarakat Cina amat menghargai jasa baik Cheng Lock dalam memperjuangkan hak kebebasan mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda pada 1950-an. Sesungguhnya, perkara itu telah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau banyak berjasa dalam membawa kaum Cina ke landasan pembangunan yang sewajarnya. Tanpa tindakan berpandangan jauh Cheng Lock, kaum Cina mungkin dipinggir daripada arus pembangunan perdana di negara ini.
Pada Jun 1952, Cheng Lock berucap dalam satu majlis Dewan Perniagaan Cina Singapura. Beliau menegaskan, kaum Cina wajar menganggap Tanah Melayu sebagai kampung halaman tercinta dan bekerjasama erat dengan kaum lain dalam politik untuk mewujudkan satu negara, satu rakyat dan satu kerajaan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Meskipun ketika itu negara belum merdeka tetapi Cheng Lock sudah mempunyai wawasan yang jelas dan jauh tentang pembentukan sebuah negara baharu.
Cheng Lock dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1958.
Cheng Lock meninggal dunia pada 16 Disember 1960 di Melaka ketika berusia 77 tahun. Mayatnya disemadikan mengikut istiadat pengebumian negara. Sesungguhnya, beliau merupakan orang Cina pertama yang diberi penghormatan setinggi itu dalam lembaran sejarah negara.
Beliau boleh disifatkan sebagai seorang tokoh Cina yang benar-benar mempratikkan semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










