BUKAN mudah bergelar anak sulung, lebih-lebih lagi mempunyai adik-adik yang masih kecil.Namun, dek kerana perlu memikul tanggungjawab termasuk menjaga adik-adik, Seri (bukan nama sebenar) seorang remaja terlanjur sementara menunggu saat kelahiran terpaksa menjadi ‘dewasa’ sebelum usia.
Dia tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak yang menyeronokkan seperti bermain dan bergembira seperti rakan-rakan sebaya.
Walaupun masih muda, Seri sudah menjadi seorang anak gadis yang berdikari dan bertanggungjawab menjaga adik-adiknya seramai lima orang berusia dari dua tahun hingga 10 tahun.
Sebagai kakak sulung, dia turut ditugas melakukan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, mengemas rumah sehinggalah memasak.
Pada awalnya, Seri patuh dan mengikut apa sahaja yang disuruh dan diminta ibu bapanya, namun sebaik usianya menginjak 12 tahun, secara perlahan-lahan emosinya mulai terganggu.
Beban emosi dan psikologi ditanggung, menjadi penyebab dia hilang fokus dan berubah perangai menjadi pendiam, suka memendam dan penuh amarah dalam hati.
Kisah Seri dikongsikan seorang pembaca ruangan Liku Hidup yang hanya mahu dikenali sebagai Kay (bukan nama sebenar) melalui kiriman emel kepada saya baru-baru ini.
Kay yang memperkenalkan diri sebagai kaunselor di salah sebuah pusat perlindungan remaja di selatan tanahair, memberitahu tujuan dia berkongsi kisah adalah sebagai pengajaran kepada ibu bapa lain.
Mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai ibu bapa, terutama pasangan muda banyak perkara perlu dilakukan berhati-hati.
Jika tidak mereka akan lebih tertumpu kepada satu perkara sehingga terlepas pandang perkara lain.
Ini terutamanya ibu bapa yang terlalu fokus dalam mendisiplinkan anak-anak hingga terlupa perkara yang lebih besar seperti hubungan sihat, rasa hormat, empati dan kasih sayang.
Dalam emelnya juga, Kay turut berkongsi pandangan bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kefahaman terhadap mendidik anak-anak.
Kadangkala, kesibukan, menyebabkan ibu bapa terlupa tentang amanah dan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka.
Dalam kes Seri, ia adalah salah faham ibu bapanya tentang ‘didik anak buat kerja rumah’ dengan ‘jadikan anak hamba’ untuk selesaikan segala tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.
Secara jujur, Kay bersimpati dengan nasib menimpa Seri yang pada akhirnya terpaksa menjadi penghuni pusat perlindungan akibat sikap tidak bertanggungjawab ibu bapa sendiri.
Sikap memberontak Seri semakin ketara ketika usianya menginjak 13 tahun.
Segala-galanya bermula selepas dia berkenalan dengan seorang lelaki dalam laman sosial.
Kerana terlalu percaya janji manis dan mengikut ‘darah muda’ membuatkan Seri kini menunggu saat kelahiran bayi hasil keterlanjuran dengan bekas kekasih.
Seri yang dijangka melahirkan bayi pada penghujung bulan ini bagaimanapun tidak pernah meletakkan kesalahan kepada ibu bapanya.
Sebaliknya atas kesilapan diri sendiri yang terlalu mahukan kehidupan bebas.
Remaja yang datang daripada keluarga bermasalah dan tidak berpendidikan tinggi seperti Seri mudah diperdaya oleh lelaki yang mengambil kesempatan ke atasnya.
Nasib Seri tidak sebaik rakan-rakan sebaya lain apabila pada usia 10 tahun dia diberhentikan sekolah oleh kedua ibu bapanya.
Sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab ibu bapa Seri, terutama dalam soal pendidikan menyebabkan Seri dan adik-adiknya keciciran dalam pelajaran.
Seri tidak sempat merasai kasih sayang seorang ibu dan ayah seperti orang lain.
Semasa usianya mencecah dua tahun ibunya hamil anak kedua.
Selang dua tahun, Seri mempunyai adik lagi.
Seri menyangka kehidupan ibu bapanya berubah selepas memiliki anak-anak lain, tapi sangkaannya meleset.
Segala tanggungjawab menjaga adik-adik diserahkan kepadanya.
Bapanya malas bekerja dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk bekerja dan hanya bergantung harap kepada bantuan orang lain.
Seri dan adik-adik sering dijadikan ‘umpan’ untuk meraih simpati jiran tetangga.
Mereka juga sering kelaparan apabila terputus bekalan makanan.
Hendak tak hendak, ibu Seri terpaksa menebal muka meminta simpati daripada jiran tetangga.
Sekali dua, jiran tetangga sudi membantu, jika berkali-kali, jadi muak.
Lebih -lebih apabila masing-masing mengetahui sikap sebenar bapa Seri.
Akan tetapi, Seri sedar penyebab mereka sekeluarga hidup dalam kemiskinan kerana kemalasan bapanya.
Seri adalah kesan daripada bagaimana ibu bapanya melayannya pada lima tahun lalu.
Membesarkan anak-anak lebih senang berbanding mendidik.
Bagi cukup makan, besarlah anak-anak, tetapi mendidik, kerja sepanjang hayat.
Tidak salah mendidik anak melakukan kerja-kerja rumah dari kecil tetapi biarlah sesuai dengan usia mereka.
Anak bukan milik yang boleh diperguna dan bertindak ikut perasaan.
Mereka hanyalah pinjaman dan amanah untuk dididik.
Didiklah mengikut panduan agama, bukan ikut perasaan semata.
Anak-anak juga merupakan ujian dan mendidik mereka merupakan tanda pengabadian kita kepada Allah.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui.
Dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhkan Allah di sisiNya pahala yang besar. (Al-Anfal ayat 27 & 28).









