Bukan sahaja Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tetapi bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo turut disebut-sebut sedang berusaha untuk kembali ke dunia politik.
Mohamad Khir, bekas ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang dikatakan mahu bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan difahamkan beberapa gerak kerja sudah dijalankan untuk memenangi hati rakyat di kawasan itu.
Mengukuhkan keadaan itu, beliau pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke arena politik dan mahu merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.
Mohamad Khir dalam satu laporan berkata, penerimaan masyarakat di Sungai Besar masih positif selain beliau boleh menggunakan pengalaman untuk membantu Selangor bangkit selepas kalah tiga penggal dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Pada 25 April lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mana-mana individu termasuk Mohamad Khir berhak membuat keputusan sama ada ingin menyertai politik.
“Dalam politik bebas, siapa nak comeback ke, nak datang ke biarlah ahli menentukan. Kalau di Sungai Besar, biar ahli bahagian tentukan, kalau dalam pilihan raya, biarlah rakyat menentukan,” kata Noh ketika itu.
Bagi Tengku Zafrul pula, Jamal secara jelas sanggup memberi laluan kepada Menteri Kewangan itu untuk bertanding Parlimen itu tetapi setakat ini belum ada perbincangan.
“Saya memang secara terbuka kali ini untuk menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Parlimen dan yakin boleh menang tetapi saya bermuhasabah diri, seperti saya katakan keputusan meletakkan calon adalah hak mutlak pucuk pimpinan parti.
“Jadi jangan hanya merebut untuk menjadi calon, tetapi yang penting mesti menang.
“Saya hanya memikirkan kalau ikut percaturan, parti boleh melihat Tengku Zafrul boleh menang dan bukan semestinya di Sungai Besar, contohnya di kawasan Selangor atau lain-lain.Why not kalau di Sungai Besar, nama saya tidak boleh menang, jadi bagilah kepada orang yang boleh menang,” kata Jamal.- UTUSAN










