SEMENTARA Malaysia dan negara-negara lain beralih ke fasa endemik dan cuba hidup bersama Covid-19 selepas bergelut dengan virus itu selama dua tahun, China masih berpegang teguh kepada dasar sifar Covid-19 yang diamalkannya sejak penularan pandemik pada 2020. Sifar Covid-19 ialah satu dasar kesihatan awam yang dilaksanakan oleh beberapa negara ketika pandemik. Dasar ini melibatkan penggunaan langkah-langkah kesihatan awam seperti pengesanan kontak, saringan kesihatan secara besar-besaran, kuarantin sempadan, perintah berkurung dan perisian pengawasan untuk menghentikan penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti sebaik sahaja virus itu dikesan.
China merupakan negara yang paling tegas dalam memperkenalkan dasar sifar Covid-19. Tindakan negara itu sesungguhnya mengundang banyak kritikan dan keraguan akan keperluan dasar yang ketat itu, terutama sekali daripada dunia Barat kerana pelaksanaan perintah berkurung ekoran pandemik didapati banyak mengancam kestabilan rantaian bekalan sedunia.
Kini China merupakan pengilang terpenting bagi kebanyakan barangan pembuatan yang menjadi permintaan global. Apabila perintah berkurung diumumkan, maka kilang-kilang di China tidak berdaya menghasilkan barangan yang dipesan oleh para pengimpot dari merata dunia mengikut jadual waktu ditetapkan. Pelabuhan-pelabuhan di China seperti Shanghai juga didapati sesak, penuh dengan beribu-ribu kontena yang menanti untuk dilepaskan segera ke merata tempat di seluruh dunia.
Ketidaksanggupan pelabuhan-pelabuhan utama di dunia mengendalikan pemunggahan barangan secara pantas dan cekap kerana perintah berkurung Covid-19 menjadikan tambang pengangkutan kargo sedunia meningkat secara mendadak. Yang lebih teruk lagi, barangan yang ditempah tidak sempat sampai ke destinasi secara berkala mengakibatkan rantaian bekalan di seluruh dunia tergendala. Situasi ini memberi impak besar sehingga berlaku inflasi di negara-negara maju kerana kesuntukan bekalan barangan, manakala para pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk mendapatkan sesuatu barangan yang diingini.
Kepada China, sudah tentu mereka mempunyai pelbagai pertimbangan dan alasan tersendiri untuk mengambil langkah yang begitu ketat dalam memerangi pandemik.
Mengikut sumber kerajaan China, dasar sifar Covid-19 diamalkan bertujuan mengawal penularan virus pada tahap maksimum dengan pembiayaan kos yang minimum.
Dalam dua tahun lalu, pengenalan saringan kesihatan secara besar-besaran, suntikan vaksin menyeluruh dan perintah berkurung yang amat ketat dan rapi di bandar-bandar utama di China terbukti berjaya mengekang beberapa serangan Covid-19 ke atas negara mereka. Bagaimanapun, baru-baru ini jangkitan Omicron nampaknya telah memecahkan benteng pertahanan dan memaksa pelaksanaan perintah berkurung yang lebih ketat di beberapa bandar raya di China seperti Shanghai.
Sesungguhnya, kerajaan pusat China memang sedar bahawa dasar sifar Covid-19 akan menimbulkan pelbagai kerumitan terhadap kegiatan ekonomi dan sosial rakyat negara tersebut. Namun, pihak pemerintah lebih mementingkan kesejahteraan rakyatnya daripada kepentingan ekonomi. Mereka dilaporkan berusaha sedaya upaya untuk melindungi kesihatan dan nyawa warganegara China agar kadar penularan virus dan kematian sentiasa terkawal pada paras terendah di dunia.
KOMUNIS
Menurut laporan sebuah rencana dalam jurnal The Lancet isu Mac 2022, kematian di seluruh dunia mencecah 18.2 juta orang. Secara purata 120 orang meninggal dunia dalam setiap 100,000 pesakit Covid-19 di seluruh dunia. Kadar kematian di Amerika Syarikat pula lebih tinggi, iaitu 179 orang maut dalam setiap 100,000 pesakit Covid-19.
Sebaliknya di China, dilaporkan hanya 0.6 orang mati dalam 100,000 orang yang menghidap Covid-19.
Meskipun kesahihan statistik tersebut mungkin boleh dipertikaikan oleh sesetengah pihak, namun secara mutlak, kadar kematian di China memang jauh lebih rendah berbanding angka-angka kematian akibat Covid-19 di negara-negara lain.
Dalam hal ini, pengkritik-pengkritik dari Barat sering menuduh kerajaan China sengaja mengamalkan dasar sifar Covid-19 bagi menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa model politik komunis yang dipraktikkan mereka jauh lebih cekap daripada pemerintahan demokratik yang diamalkan oleh kebanyakan negara-negara Barat.
Sehubungan ini, China hanya memberi penjelasan bahawa mereka lebih mementingkan kesejahteraan rakyat daripada keuntungan ekonomi. Pelaksanaan perintah berkurung ini sememangnya seiring dengan keadaan dan persekitaran negara tersebut.
China juga menegaskan bahawa mereka adalah sebuah negara yang mempunyai wilayah besar dan populasi tinggi. Sekiranya mereka gagal mempertahankan cabaran kesihatan awam kali ini, pandemik mungkin akan merebak ke dunia luar secara besar-besaran dan menjejaskan keselamatan rantaian bekalan global seterusnya mengancam nyawa jutaan warga dunia. Bagaimanapun, perintah berkurung yang berpanjangan memang merugikan perkembangan ekonomi di seluruh dunia dan seterusnya mengancam ketenteraman masyarakat dan kestabilan politik.
Bagi sebuah negara sedang membangun, Malaysia banyak bergantung kepada eksport ke China demi kemajuan ekonomi. Malaysia juga banyak bergantung kepada empat juta pengunjung dari China setiap tahun untuk menggerakkan sektor pelancongan di tanah air. Di samping itu, terdapat juga 30,000 pelajar dari China sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Malaysia. Pandemik telah menyekat pelajar China daripada menghadiri kelas secara fizikal di kampus. Semua program pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian. Ini sesungguhnya menyukarkan pelajar dan universiti.
Oleh yang demikian, marilah kita berdoa agar Covid-19 dapat dikekang dan lesap dalam tempoh terdekat. Mudah-mudahan kita semua dapat kembali kepada kehidupan normal. Rantaian bekalan sedunia perlu dipulihkan segera. Kerusuhan politik dan ekonomi antara negara susulan Covid-19 perlu diakhiri. Semoga warga sejagat dapat hidup aman dan sentosa seperti sediakala. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










